BUTTERWORTH: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Pulau Pinang merampas 3,000 kilogram produk ruminan lembu sejuk beku yang diimport dari Brazil bernilai RM76,000 kerana menggunakan maklumat yang tidak tepat serta mengelirukan, pada Jumaat lepas.
Pengarahnya Muhammad Ikram Abd Talib berkata hasil pemeriksaan ke atas sebuah kontena di Pelabuhan Pangkalan Kontena Utara Butterworth (NBCT) menemukan 120 kotak dagangan yang diimport iaitu bahagian lembu seperti ekor lembu sejuk beku.
“Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua dagangan itu menggunakan maklumat tidak tepat dan mengelirukan, MAQIS merampas ekor lembu sejuk beku tersebut untuk siasatan lanjut,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].
Menurutnya MAQIS sentiasa melakukan pemeriksaan keluaran pertanian di setiap pintu masuk negara bagi memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar, serta mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan kerajaan.-Bernama