PASIR MAS: Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB) yang akan diwujudkan dan menjadi kemudahan perlindungan mangsa banjir yang lebih baik berbanding pusat pemindahan sementara (PPS) akan membawa manfaat besar kepada rakyat apabila berlaku bencana itu.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata pusat pemindahan berkenaan memerlukan persiapan dan penyelenggaraan yang baik serta dewan lebih kemas dan teratur kerana akan menempatkan jumlah mangsa banjir yang ramai.
“PPKB ialah penempatan kekal untuk mangsa banjir ... kita harap penyelenggaraan akan dapat dilaksanakan kerana ada keluarga besar (mangsa bencana) dan memerlukan perbelanjaan bagi selenggara yang lebih tinggi.
“Kita (KPM) tiada sebarang masalah membuat persiapan dan sentiasa bersedia berdasarkan garis panduan yang ditetapkan,“ katanya kepada pemberita selepas meluangkan masa bertemu dengan mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi dekat Rantau Panjang di sini hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata PPKB akan diwujudkan segera, dengan projek rintis dimulakan di sembilan negeri melibatkan kos siling RM5 juta bagi setiap pusat.
Pada 28 Okt lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali berkata sembilan lokasi PPKB yang dicadangkan ialah SK Banggol Peradong di Kuala Terengganu, Terengganu; SK Gual Tinggi di Pasir Mas, Kelantan; SK Seri Medan di Batu Pahat, Johor; SK Benta di Kuala Lipis, Pahang; SK Perwira di Teluk Intan, Perak.
Lokasi lain ialah SK Machang Bubok, Pulau Pinang; SK Beradek di Kuching, Sarawak sementara di Kedah dan Sabah masih di peringkat penilaian Jabatan Pendidikan negeri berkenaan.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai persediaan KPM jika berdepan dengan gelombang banjir yang lebih besar, Fadhlina berkata pihaknya telah membuat persiapan awal termasuk memberi keutamaan kepada pelajar yang menetap di PPS dan kediaman yang terputus hubungan sehingga mereka gagal hadir ke sekolah untuk mengikuti pembelajaran secara dalam talian.
“Kesiapsiagaan kita bila-bila masa kerana persiapan kita lebih ke hadapan terutama membabitkan negeri-negeri yang sering kali dilanda bencana seperti banjir. Walaupun bencana berlaku, pendidikan perlu diberi keutamaan agar pembelajaran mereka (pelajar) ini tidak terjejas,“ katanya. -Bernama