Lanjutan operasi KK di luar waktu pejabat atasi isu kesesakan hospital

PUTRAJAYA: Beberapa klinik kesihatan (KK) di sekitar Lembah Klang kini beroperasi di luar waktu pejabat bagi mengurangkan kehadiran pesakit di wad kecemasan (ED) hospital terutama bagi mereka yang tiada keperluan serius untuk menerima rawatan segera.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali(gambar) berkata operasi KK terlibat dilanjutkan sehingga 9 atau 10 malam setiap hari dan staf di KK berkenaan perlu bertugas mengikut syif masing-masing.

“Tidak semua yang datang ke ED itu perlu duduk di Zon Merah (kritikal). Tujuan lanjutan waktu operasi itu bagi mengurangkan beban ED di hospital,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Kualiti dan Penyelidikan Pakar Diet Kementerian Kesihatan Ketiga (DQRC 2022), ketika mengulas isu kesesakan pesakit di hospital.

Dr Noor Azmi berkata pengoperasian luar waktu pejabat itu akan diteruskan mengikut keperluan dan menurutnya, pengoperasian luar waktu pejabat pernah dilaksanakan sebelum ini namun dihentikan ekoran pandemik Covid-19.

Sementara itu, Dr Noor Azmi berkata Malaysia berdepan dengan kekurangan pegawai dietetik dengan hanya 469 orang dilaporkan berkhidmat di hospital, klinik kesihatan, ibu pejabat Kementerian Kesihatan (KKM), sekolah sukan dan hospital angkatan tentera.

Mengakui ia adalah satu keperluan mendesak untuk menambah bilangan pakar dietetik, beliau berkata nisbah pegawai dietetik yang sepatutnya adalah 1:10 pesakit sehari namun kadar ketika ini adalah 1:33 pesakit sehari.

“Keperluan menambah bilangan pakar dietetik sangat penting susulan trend pemakanan rakyat Malaysia amat membimbangkan, ditambah dengan kemunculan penyakit jarang jumpa,“ katanya KKM kini dalam proses memohon pertambahan jawatan itu daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Ditanya sekiranya nasihat pakar dietetik diperlukan namun khidmat berkenaan tiada di fasiliti tertentu, beliau berkata doktor dan jururawat akan membantu memberikan nasihat pemakanan asas kepada pesakit.

“Kalau masih perlu rujuk (pakar), pesakit akan dirujuk ke hospital lain. Selain itu, pakar dietetik di hospital juga membuat lawatan berkala ke KK (yang tiada pakar dietetik),” kata Dr Noor Azmi.-Bernama