KUALA LUMPUR: Perubahan yang dibuat oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP AS) ke atas hasil penemuan buruh paksa terhadap Sime Darby Plantation Bhd (SDP) berikutan kajian semula secara menyeluruh amalan syarikat itu, dilihat positif kepada keseluruhan sektor minyak sawit.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) Belvinder Sron berkata sektor minyak sawit Malaysia telah melaksanakan langkah penting untuk memperkasa amalan buruh di sepanjang rantaian bekalannya.

Beliau berkata langkah terkini ialah semakan semula standard Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang diwajibkan dan dan dikuatkuasakan oleh kerajaan.

“Semua syarikat minyak sawit Malaysia di seluruh rantaian bekalan komited terhadap peruntukan buruh dan hak asasi manusia MSPO.

“MPOC berharap untuk meneruskan dialog dengan CBP AS dan pihak berkuasa AS lain serta mengekalkan komunikasi yang terbuka mengenai isu yang menjadi kepentingan bersama ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MPOC berkata ia telah menjalin kerjasama dengan pihak berkuasa AS sepanjang 2021 dan 2022, bersama-sama SDP sebagai satu daripada pengeluar minyak sawit mampan terbesar di Malaysia, peserta industri lain dan pegawai kerajaan Malaysia.

Menurutnya perbincangan, sesi pendidikan dan pertemuan secara bersemuka telah diadakan dengan CBP AS, Jabatan Buruh AS dan Jabatan Negara.

Program latihan juga turut dianjurkan bersama dengan CBP AS di Kuala Lumpur untuk syarikat minyak sawit Malaysia memahami dan mengenal pasti amalan buruh paksa, katanya.

“Dialog dan saluran komunikasi baharu ini yang diperkenalkan susulan pembabitan kami dengan pembuat pendapat AS, menjadi platform yang positif untuk berkongsi dan menyampaikan data, fakta dan maklumat kepada pihak berkuasa AS.

“Sebagai sebuah syarikat, SDP boleh berbangga dengan usahanya untuk menonjolkan perubahan sebenar dan sekiranya perlu, melaksanakan pembaharuan dan menambah baik protokol untuk mengambil dan menguruskan pekerja,” katanya. -Bernama