Your Title

WINDHOEK: Namibia, satu-satunya negara yang menjadi habitat terbesar di dunia untuk badak sumbu hitam, secara agresif melaksanakan langkah nyahtanduk bagi menyelamatkan spesies terancam itu disembelih secara haram untuk mendapatkan tanduknya.

Sehingga awal Oktober, Namibia kehilangan kira-kira 48 ekor badak sumbu, manakala pemburu haram sebelum ini dilaporkan membunuh badak sumbu di taman negara, kini menyasarkan ladang penjagaan dan persendirian, lapor Xinhua.

Jurucakap Kementerian Alam Sekitar, Perhutanan dan Pelancongan (MEFT) Romeo Muyunda berkata pada tahun ini negara itu berjaya nyahtanduk kira-kira 154 ekor badak sumbu tetapi jumlah itu dianggap sedikit berbanding kos yang diperuntukkan,

“Kos nyahtanduk adalah sangat mahal disebabkan usaha menangkap haiwan dan kos berkaitan proses imobilisasi.

“Kami terus melakukan apa yang termampu mengikut sumber yang kami ada bagi melindungi haiwan liar.

“Sejak Januari, MEFT telah melakukan langkah imobilisasi terhadap 134 badak sumbu hitam, dan 131 daripadanya telah menjalani proses nyahtanduk, manakala 23 ekor badak putih turut menjalani proses sama,“ katanya.

Namibia ialah negara pertama yang menggunakan kaedah nyahtanduk untuk melindungi badak sumbu daripada diburu pada akhir 1980-an.

Langkah berkenaan dilaporkan telah menyumbang secara signifikan terhadap mengurangkan kes pemburuan haram kepada sifar pada ketika itu.

Beliau berkata pada 1995 langkah itu telah dihentikan tetapi dilaksanakan semula pada 2014 berikutan peningkatan kes pemburuan haram.

Jumlah keseluruhan badak sumbu di negara itu sekitar 932 ekor sejak 2018.

Negara itu juga telah mengambil langkah untuk meningkatkan keselamatan dan melaksanakan inisiatif anti pemburuan haram yang lain.

Memandangkan pemburu haram menyasarkan ladang penjagaan dan persendirian, pemilik ladang telah mula membuang tanduk badak sumbu mereka untuk melindungi haiwan berkenaan.

Pengerusi Help Our Rhinos Now (HoRN) Jaco Muller berkata mereka telah menggalakkan ahli-ahli mereka untuk nyahtanduk haiwan di bawah jagaan mereka bagi menghalang pemburu haram.

“Semua badak sumbu yang berusia lebih 18 bulan di ladang telah dicabut tanduknya,“ kata Muller.

Meskipun selepas tanduk itu dicabut, masih terdapat 1-1.5 kilogram tanduk pada haiwan itu.

“Bangkai seekor badak sumbu bernilai 40 kali ganda berbanding seekor badak hidup. Inilah punca mereka disembelih tanpa belas kasihan.

“Walaupun kita memiliki unit anti pemburuan haram yang kuat, kita masih kalah dalam perjuangan,“ katanya.

HoRN ialah persatuan 40 penternak persendirian dan penjaga yang melindungi badak sumbu hitam dan putih.

Pada 2021 kira-kira 44 ekor badak sumbu dibunuh di Namibia manakala pada 2020 sebanyak 42 ekor, pada 2019 (57), pada 2018 (83) dan pada 2017 (55).-Bernama