Your Title

KUALA LUMPUR: Pharmaniaga Bhd telah memberi jaminan untuk membekal lebih daripada 700 produk ubat dan bukan ubat kepada semua fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM) selain akan terus kukuh dan berdaya saing.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa (gambar) berkata komitmen itu diberi syarikat tersebut dalam satu sesi pertemuan bersama KKM hari ini bagi mendengar pencerahan mengenai kedudukan semasa syarikat berkenaan serta perancangan dalam memastikan bekalan ubat dan bukan ubat kepada semua fasiliti kesihatan itu tidak terjejas.

Perjumpaan itu turut membabitkan wakil syarikat Pharmaniaga bersama wakil Persatuan Industri Farmaseutikal Malaysia (MOPI) dan Persatuan Farmaseutikal Malaysia (PhAMA).

“MOPI dan PhAMA akan turut memberi kerjasama penuh bagi memastikan rantaian bekalan ubat dan bukan ubat tidak mengalami gangguan.

“Perjumpaan ini turut menjelaskan dakwaan bahawa Pharmaniaga telah menangguhkan pembayaran kepada syarikat farmaseutikal dan syarikat peranti perubatan (prinsipal) yang terlibat dalam mengeluarkan ubat-ubatan dan peralatan perubatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Zaliha berkata KKM memandang serius isu yang disiarkan dalam media elektronik dan media cetak berhubung status Nota Amalan 17 (PN17) Pharmaniaga yang dikhuatiri memberi kesan ke atas pembekalan ubat dan bukan ubat serta keupayaannya melunaskan bayaran kepada syarikat farmaseutikal dan syarikat peranti perubatan yang bernaung di bawahnya.

Beliau turut menegaskan bahawa KKM akan terus bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat berada di tahap optimum ke arah menjamin kehidupan sejahtera masyarakat Malaysia MADANI.

Media sbelum ini melaporkan bahawa Pharmaniaga mencatat kerugian bersih sebanyak RM607.32 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2022 berbanding keuntungan bersih RM172.15 juta pada tahun sebelumnya dengan peruntukan RM552 juta bagi “pergerakan stok vaksin Covid-19 yang perlahan” sehingga mendorong syarikat itu di bawah kategori PN17. -Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image