KUANTAN: Kerajaan negeri Pahang menyasarkan masalah bekalan air di negeri ini dapat diselesaikan sekurang-kurangnya 90 peratus dalam tempoh lima tahun, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata isu bekalan air merupakan isu kompleks yang memerlukan perancangan rapi, bajet besar dan masa untuk diselesaikan, namun beliau optimis boleh dilaksanakan jika dibuat dengan bersungguh-sungguh demi kepentingan rakyat.

Antara komitmen kerajaan negeri menyelesaikan masalah air ialah memperuntukkan RM2.3 bilion daripada pelbagai sumber kewangan untuk melaksanakan 237 projek, merangkumi 77 projek telah siap, 34 projek dalam pembinaan dan selebihnya masih di peringkat reka bentuk, katanya.

“Projek ini melibatkan penyelesaian masalah terputus bekalan dan tekanan rendah, penurunan rizab margin loji, jaringan bekalan air baharu, kekerapan paip pecah dan penurunan kecekapan peralatan.

“Projek ini juga melibatkan pemasangan paip baharu pelbagai saiz sepanjang lebih 250 kilometer (km) bagi menyelesaikan kekerapan paip pecah dan terputus bekalan,“ katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Wan Rosdy berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Khairuddin Mahmud (BN-Pulau Manis) yang ingin tahu tindakan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) dalam menangani masalah bekalan air.

Wan Rosdy berkata daripada keseluruhan 237 projek berkenaan, terdapat 35 projek yang menjadi keutamaan dengan lima daripadanya telah siap antaranya di Jerantut melibatkan naik taraf peralatan mekanikal dan elektrikal di Loji Rawatan Air Seberang Tembeling, projek naik taraf muka sauk di Loji Rawatan Air Seberang Tembeling selain projek naik taraf sistem agihan di Bukit Koman, Raub.

Enam projek dijangka siap tahun ini dengan purata pembangunan semasa melebihi 60 peratus antaranya projek pemasangan pam di rumah pam Kobat Loji Rawatan Air Karak Fasa 2, pemasangan pam air bersih di Loji Rawatan Air Belimbing, Pekan dan projek naik taraf sistem rawatan di Loji Rawatan Air Seberang Tembeling, Jerantut.

Bagi pembinaan projek bekalan air antara negeri di bawah Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dari Kemaman ke Gebeng sepanjang 29 km, Wan Rosdy berkata ia berjalan mengikut jadual dan dijangka siap pada Jun tahun depan.

“Impak daripada kesemua projek ini dijangka dapat dinikmati lebih daripada 140,000 akaun pengguna bagi kesemua daerah termasuk kepada pelabur industri dan komersial yang baharu dan secara tidak langsung ia akan merancakkan lagi ekonomi penduduk setempat dan pembangunan akan datang,“ katanya.-Bernama