SINGAPURA: Ahli perniagaan Malaysia John Soh Chee Wen dijatuhi hukuman penjara 36 tahun di Singapura kerana terlibat dalam kes manipulasi pasaran saham terbesar republik itu sehingga mengakibatkan kerugian S$8 bilion (RM27 bilion) pada 2013.

Media tempatan melaporkan bekas rakan kongsi Soh iaitu Quah Su-Ling turut dijatuhi hukuman penjara 20 tahun.

Quah adalah bekas Ketua Pegawai Eksekutif IPCO International yang tersenarai di Bursa Saham Singapura (SGX).

Soh, 62, dan Quah, 57, masing-masing disabitkan dengan 180 dan 169 pertuduhan selepas perbicaraan kes mereka berlangsung selama hampir 200 hari serta membabitkan kira-kira 100 saksi pendakwaan, menurut laporan itu.

Laporan itu juga menyebut bahawa dari Ogos 2012 hingga Oktober 2013, Quah dan Soh telah memanipulasi harga saham Kumpulan Blumont, Asiasons serta LionGold.

Mereka didakwa mempunyai kawalan, memperoleh pembiayaan untuk menjalankan aktiviti perdagangan tidak sah dan menyelaraskan penggunaan 189 akaun dagangan sekuriti mereka.

Akaun berkenaan didaftarkan atas nama 60 individu dan syarikat.

Sebahagian besar pertuduhan terhadap mereka membabitkan 106 kesalahan menipu iaitu memperdaya institusi kewangan dengan menyembunyikan penglibatan mereka dalam memberi arahan untuk membuat pesanan dan perdagangan.

Soh juga didapati bersalah mengganggu empat saksi dengan meminta mereka berbohong kepada penyiasat selepas kejatuhan pasaran saham.

Skim itu terbongkar pada 4 Okt 2013 apabila harga saham ketiga-tiga syarikat jatuh sehingga mengakibatkan kerugian S$8 bilion permodalan pasaran daripada SGX.

Pendakwaan telah memohon agar mahkamah mengenakan hukuman penjara 40 tahun ke atas Soh dan 19 tahun setengah terhadap Quah.-Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image