Seorang pesara bank kehilangan RM91,550 selepas diperdaya sindiket tawaran kerja ejen jualan di laman sosial Facebook dan WhatsApp.
KUALA TERENGGANU: Seorang pesara pegawai bank lelaki kerugian sebanyak RM91,550 selepas diperdaya sindiket tawaran kerja sambilan di laman sosial.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata mangsa berusia 57 tahun itu melihat iklan kerja sebagai ejen jualan di Facebook pada 5 Januari lepas.
Mangsa yang berminat kemudian menekan pautan tertera dan menerima pesanan WhatsApp daripada suspek.
“Mangsa telah dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp ‘AurionVilla’ dan diajar cara terperinci menyelesaikan tugasan, iaitu membuat tempahan hotel melalui satu platform dalam talian,” katanya.
Selepas mendaftar, mangsa dikehendaki membuat 90 tempahan hotel sehari menggunakan wang sendiri dengan dijanjikan komisen bagi setiap tugasan.
Azli berkata mangsa pada mulanya gembira kerana berjaya memperoleh keuntungan RM4,000 selepas menyelesaikan beberapa tugasan.
“Akibat terlalu yakin dan percaya, mangsa telah membuat tempahan lebih besar bagi mendapatkan keuntungan lebih lumayan,” katanya.
Mangsa membuat laporan polis selepas gagal mendapatkan keuntungan yang dijanjikan.
Dalam kes berasingan, seorang kerani klinik wanita kehilangan semua wang simpanannya berjumlah RM70,935 ditipu sindiket sama.
Mangsa berusia 54 tahun itu menerima hadiah ‘Tupperware’ daripada individu tidak dikenali pada 1 Januari lepas.
Suspek kemudian menghubungi mangsa melalui panggilan telefon dan menawarkan kerja sambilan ‘like’ dan ‘share’ hantaran di laman sosial dengan komisen lumayan.
Selepas menyelesaikan 20 tugasan dan diberi komisen, suspek menawarkan komisen lebih tinggi dengan syarat perlu membuat bayaran terlebih dahulu.
“Mangsa yang percaya telah membuat 17 kali pembayaran secara deposit tunai dan transaksi dalam talian, tetapi gagal mendapat komisen yang dijanjikan,” kata Azli.
Mangsa membuat laporan polis selepas suspek mendesak supaya terus membuat pembayaran dengan pelbagai alasan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.








