Seramai 6,014 pengundi atau 44.5% telah keluar mengundi dalam PRK DUN Lamag setakat 1 tengah hari, dengan daerah Lamag mencatat peratusan tertinggi.
KINABATANGAN: Seramai 6,014 pengundi atau 44.50% telah menunaikan tanggungjawab dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Lamag setakat 1 tengah hari.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya, daerah mengundi Lamag mencatat peratusan keluar mengundi tertinggi iaitu 66.08%.
Ia diikuti oleh Balat (59.05%), Buang Sayang (47.14%), Bukit Garam (45.09%), Usaha Jaya (43.68%) dan Kota Kinabatangan (40.89%).
Kesemua sembilan pusat mengundi yang mengandungi 30 saluran telah dibuka pada 7.30 pagi.
Sebanyak 13,515 pengundi berdaftar berpeluang melaksanakan tanggungjawab memilih wakil rakyat baharu.
Pusat-pusat mengundi akan ditutup secara berperingkat mulai 1 tengah hari hingga 5.30 petang mengikut masa yang ditetapkan.
PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim Moktar (BN), Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas).
Pertembungan di DUN Lamag pula adalah satu lawan satu antara Mohd Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).
PRK ini diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin pada 5 Disember tahun lepas.








