Perhilitan Perak sahkan tiada kesan harimau di Proton City, Tanjong Malim selepas siasatan, amaran dikeluarkan terhadap penyebar video palsu
IPOH: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak mengesahkan tiada sebarang jejak harimau dikesan di kawasan Proton City, Tanjong Malim.
Keputusan itu dibuat selepas siasatan susulan terhadap video ngauman harimau yang tular di media sosial.
Pengarah Perhilitan Perak Yusoff Shariff berkata laporan kakitangan mendapati dakwaan dalam video itu tidak berasas.
Beliau memberi amaran akan membuat laporan polis terhadap individu yang memuat naik video palsu berkenaan.
“Perkara seumpama ini tidak sepatutnya berlaku dan ia bukan sesuatu yang boleh dijadikan sebagai bahan jenaka,” katanya.
Yusoff menegaskan tindakan sedemikian menimbulkan kebimbangan awam dan mengganggu usaha pihak berkuasa.
Video berdurasi 15 saat itu didakwa dirakam di kawasan hutan berhampiran sebuah sekolah dan perumahan di Proton City.
Sebagai tindak balas, pasukan Perhilitan telah dihantar untuk menjalankan siasatan dan pemantauan di lokasi.
Yusoff juga menasihati orang ramai mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi sebelum berkongsi kandungan berkaitan hidupan liar.








