• 2025-06-22 01:34 PM

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) menggugurkan enam bom “bunker buster” ke atas kemudahan nuklear Fordo dan melancarkan puluhan serangan peluru berpandu krus dari kapal selam ke atas dua tapak lain dalam serangan menyasarkan program nuklear Iran, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik Fox News.

Menurut laporan itu, Presiden AS Donald Trump memperincikan serangan berkenaan kepada hos TV Sean Hannity, dengan berkata setiap bom bunker buster seberat 15 tan digugurkan dari pesawat pengebom “stealth” B-2 Amerika.

Secara keseluruhan, 30 peluru berpandu krus Tomahawk ditembak dari kapal selam AS ke atas kemudahan nuklear di Natanz dan Isfahan, menurut laporan itu lagi.

Trump mengesahkan serangan itu pada awal Sabtu dan berkata “muatan penuh” bom digugurkan ke atas tapak nuklear utama Iran di Fordo manakala serangan tambahan dilakukan ke atas kemudahan di Natanz dan Esfahan.

Beliau berkata semua pesawat pejuang AS telah keluar dari ruang udara Iran.

Kemudahan nuklear Fordo ialah tapak pengayaan uranium bawah tanah berhampiran Qom — kemudahan nuklear Iran yang paling dalam dan paling kukuh, direka untuk menahan serangan udara konvensional.

Iran sebelum ini memberi amaran keras kepada Trump supaya tidak campur tangan dalam konflik dengan Israel, sambil menyatakan bahawa penyertaan langsung AS dalam permusuhan itu akan membawa kepada “akibat yang tidak dapat dipulihkan.”

Trump berulang kali mengancam untuk mengambil tindakan ketenteraan terhadap Tehran dan menegaskan bahawa AS tidak akan membenarkan Iran memperoleh senjata nuklear, sesuatu yang berulang kali dinafikan Iran bahawa ia berhasrat untuk memiliki.

Permusuhan tercetus pada 13 Jun apabila Israel melancarkan serangan udara ke atas beberapa tapak di seluruh Iran, termasuk kemudahan ketenteraan dan nuklear, mendorong Tehran melancarkan serangan balas.

Menurut Kementerian Kesihatan Iran, serangan Israel itu mengorbankan 430 orang dan mencederakan lebih 3,500 yang lain.