• 2025-07-26 09:53 AM

JOHOR BAHRU: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berjaya memindahkan dua ekor gajah yang ditangkap di Kampung Sri Lukut, Kahang Kluang ke habitat baharu yang lebih sesuai. Operasi ini sebahagian daripada usaha mengurangkan konflik antara manusia dan gajah di kawasan terjejas.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, Ling Tian Soon, berkata pemindahan itu melibatkan sembilan ekor gajah yang ditangkap menerusi Operasi Bersepadu Tangkapan dan Translokasi Gajah sejak 14 Julai lalu.

“Empat ekor gajah telah dipindahkan pada 23 Julai, manakala seekor anak gajah dibawa ke Pusat Santuari Gajah (JES) di Kota Tinggi untuk dipelihara dan dilatih sebagai gajah penunjuk arah,“ jelasnya.

Baki dua ekor gajah lagi dijangka dipindahkan pada 28 Julai ini. Operasi ini merupakan yang terbesar dalam sejarah negeri Johor dan melibatkan kerjasama unit khas gajah dari negeri lain.

“Selepas operasi ini selesai, Perhilitan akan teruskan kerja pemindahan gajah di kawasan lain sekitar Kluang,“ tambah Ling.

Proses pemindahan hari ini mengambil masa selama lima jam. Sejak 2020 hingga 2024, Perhilitan menerima 699 aduan berkaitan konflik hidupan liar melibatkan gajah di Johor, dengan 228 daripadanya direkodkan di Kluang- Bernama