PETALING JAYA: Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dilaporkan melafazkan cerai terhadap isteri keduanya, Marina Mohamed dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling pada hari Isnin.

Menurut Sinar Harian, Abdul Azeez meluru keluar dengan ditemani peguamnya, sementara Marina kelihatan mengalirkan air mata sejurus prosiding selesai.

Semasa prosiding berlangsung, Hakim Syarie, Abdul Malik Soleh, merekodkan perceraian Abdul Azeez, 59, dengan kebenaran mahkamah pada jam 10.45am selepas perbincangan berlangsung selama hampir satu jam.

Abdul Malik kemudiannya membenarkan permohonan cerai yang difailkan bekas pengerusi Tabung Haji (TH) selaku plaintif pada 9 Disember 2024, mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Hakim tersebut turut mensabitkan perceraian itu dan memerintahkan Marina menjalani tempoh idah selama tiga kali suci serta mendaftarkan perpisahan berkenaan.

Selepas prosiding, peguam syarie, Datuk Mohd Zaidi Md Zain yang mewakili Abdul Azeez itu berkata kepada pihak media, mahkamah merekodkan perpisahan mereka berdasarkan keputusan Jawatankuasa Pendamai (JKP) di Pejabat Agama Islam, baru-baru ini.

Mengikut laporan JKP itu, Mohd Zaidi berkata pasangan terbabit menghadapi shiqaq rumah tangga, iaitu perbalahan berpanjangan yang tidak dapat didamaikan.

“Ditekankan bahawa defendan merupakan isteri keduanya dan lafaz dibuat secara baik dengan talak satu hari ini,” katanya ketika ditemui di luar mahkamah.

Sementara itu, Marina selaku defendan, yang diwakili peguam syarie, Azmi Mohd Rais berkata, mahkamah syarie turut menetapkan Isnin untuk prosiding tuntutan cerai dengan kebenaran mahkamah antara kedua-dua pihak berkenaan.

Menurutnya, perintah ‘shiqaq’ telah dikeluarkan dan mahkamah menasihati plaintif untuk melafazkan cerai.

“Alasannya, tiada ‘mawaddah warahmah’ untuk meneruskan perkahwinan serta tiada persefahaman dan perasaan kasih sayang dalam rumah tangga itu.

“Pada dasarnya, anak guam saya tidak bersetuju, namun selepas perjumpaan JKP, didapati tiada perdamaian, jadi kuasa untuk menceraikan berada di tangan suami,“ katanya.

Beliau berkata, pasangan itu mendirikan rumah tangga di Bachok, Kelantan pada 11 September 2019 dan tidak dikurniakan cahaya mata.

Marina, 50, dilaporkan merupakan peguam yang mewakili Abdul Azeez dalam kes saman kerajaan bagi melucut hak hampir RM16 juta, termasuk satu lot kedai di Bandar Sunway, daripada akaun peribadi TH milik isterinya, Datin Seri Khadijah Mohd Noor serta empat anak mereka termasuk Azeera Management Consultants (M) Sdn Bhd pada 2021.

Akan tetapi permohonan tersebut ditarik balik oleh kerajaan, tiga tahun lalu.