PERDANA MENTERI Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak melepaskan peluang menyakat pasukan bola sepak kegemarannya selepas Manchester United tewas 1-0 kepada Asean All-Stars, semalam.
Perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi menyaksikan pasukan rantau Asia Tenggara itu mencatatkan kemenangan mengejut, dengan pemain sayap Myanmar dari Lamphun Warriors, Maung Maung Lwin menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-71.
Memanfaatkan perangkap offside, Lwin melepaskan rembatan kencang ke penjuru atas gol melepasi Tom Heaton, sekali gus mengejutkan gergasi Liga Perdana Inggeris itu dan para penyokong mereka.
Anwar, merupakan seorang peminat setia Red Devils, berkongsi reaksi jujurnya dalam satu hantaran Facebook. “Aduh! Gagal lagi Manchester United menang piala.
“Pening kepala juga hangpa musim depan. Harap tak turun Championship.
“Tahniah ASEAN All Stars, hangpa memang PADUUUUU!!!” tulisnya.
Meskipun komen beliau berunsur jenaka, namun ia mengulangi rasa kecewa yang semakin memuncak dalam kalangan peminat Manchester United di seluruh dunia ketika kelab itu berdepan tekanan untuk membina semula pasukan sebelum musim baharu bermula.