SEORANG ‘content creator’ dari Jerman telah menarik perhatian rakyat Malaysia selepas memuat naik video tular yang menunjukkan kelasakan wang kertas RM1 – menggelarkannya ‘sangat tahan’ selepas mencuba beberapa kali untuk merosakkannya namun gagal.
Dasha, yang kini menetap di Indonesia, berkongsi kekagumannya terhadap wang kertas RM1 di Instagram. Melalui hantaran videonya, dia cuba mengoyakkan wang kertas itu tetapi mendapati ia tidak selemah yang dijangkakan.
Walaupun berulang kali dicuba, wang kertas itu tetap utuh.
Dia tidak berhenti di situ – Dasha turut menuangkan air ke atas wang kertas itu, dan mendapati ia kekal kering dan tidak rosak.
“Ringgit Malaysia sangat tahan lah!” tulisnya dalam kapsyen.
Rakyat Malaysia di ruangan komen berseronok memberikan pelbagai penjelasan mereka tersendiri.
“Sebab RM1 kebanyakannya dipegang oleh kanak-kanak kecil, ia mesti sangat sukar untuk mereka koyak atau rosakkan duit itu,” komen @ _hzq03.
“Itu baru satu ringgit cuba dengan 50 atau 100 tengok,” gurau @aisbatusatubeg.