SEMBURAN pewangi (perfume) ke bahagian ketiak tidak akan menyelesaikan masalah bau masam, malah akan menyebabkan ketiak bertambah tengik.
Menurut Public Health Malaysia, ada sesetengah orang yang percaya kalau sembur perfume terus ke ketiak, bau wangi akan ‘cover’ bau peluh.
“Tapi hakikatnya, bila perfume bercampur dengan peluh, bau boleh jadi lebih tengik dan masam,“ grup tersebut berkata menerusi satu hantaran di Facebook.
Pesanan khidmat masyarakat ini bertujuan membantu mereka yang masih tertanya-tanya kenapa badan mereka masih berbau walaupun telah mandi dan mengenakan deodorant di ketiak.
“Sebab realitinya, ramai orang yang berusaha jaga kebersihan diri, tapi bau badan tetap kuat bukan sebab mereka tak jaga, tapi sebab cara yang digunakan sebenarnya salah.”
Selain dari sembur perfume ke terus ke ketiak, tabiat pakai deodorant tanpa mandi, selain mengenakan baju yang telah dipakai hari sebelumnya juga menyumbang kepada masalah bau badan.
“Ada juga yang pakai deodorant tanpa mandi dulu. Kononnya cepat dan mudah, tapi bakteria yang masih ada di kulit akan ‘bercampur’ dengan peluh lama. Hasilnya? Bau makin kuat, bukan makin kurang.
“Pernah pakai baju semalam sebab nampak bersih? Hakikatnya, baju yang dah serap peluh simpan bakteria. Bila kita pakai semula, bakteria aktif balik bau pun naik semula.”
Orang ramai turut diingatkan supaya mengeringkan badan dengan teliti selepas mandi keranan kelembapan yang tertinggal di lipatan badan jadi taman permainan bakteria.
“Makin lembap, makin meriah bau.”
Selain itu, orang ramai juga dinasihatkan agar tidak mencukur ketiak dengan pisau tumpul kerana ia boleh jadi punca ketiak berbau.
“Bila kulit cedera mikro, bakteria mudah masuk dan hasilkan bau masam yang lebih kuat.
“Satu lagi tabiat yang orang ingat bagus, tapi sebenarnya memudaratkan adalah over -scrub atau sental badan terlalu kuat.
Ya, kita nak bersih. Tapi bila kulit disental berlebihan, ia jadi kering, luka mikro, dan kehilangan minyak pelindung semula jadi. Akhirnya, kulit jadi lebih sensitif dan bakteria lebih mudah membiak. Bau pun jadi lebih kuat, bukan hilang.”
Malah, tabiat orang dulu dulu menabur bedak di ketiak jugak tidak digalakkan.
“Bila peluh bercampur dengan bedak? Jadilah ‘lumpur likat’ yang perangkap bau.”
Setakat hantaran ini dimuatnaik sekitar dua jam yang lalu, ia telah dikongsi lebih 1,000 kali dan menerima lebih 2,500 tanda suka.