‘Double park’ merupakan satu tindakan yang banyak dilakukan oleh orang ramai. Namun begitu, masih ramai juga yang memandang enteng perkara tersebut dan tidak memikirkan orang lain. Walaupun dalam keadaan terpaksa atau kecemasan, sangat penting untuk pemandu meninggalkan nombor telefon supaya orang lain dapat menghubungi jika perlu.

Melalui satu hantaran video di TikTok yang dikongsi oleh @alianadhierah, sekumpulan rakyat Malaysia dilihat mengalihkan sebuah Axia berwarna merah yang diletakkan secara ‘double park’ di hadapan sebuah Vios di Putra Heights.

Menurut @alianadhierah, pemilik Vios telah membunyikan hon selama lebih sejam untuk mendapatkan perhatian pemandu Axia—tetapi tiada respon.

Akhirnya, beberapa orang awam tampil membantu mengalihkan Axia secara fizikal, membolehkan pemandu Vios keluar dari tempat letak kereta.

Dalam video susulan, @alianadhierah mendedahkan bahawa pemandu Axia tidak meninggalkan nombor telefon dan hanya turun dari tingkat dua selepas dipanggil oleh polis. Pemandu tersebut turut dikenakan saman.

Video itu, yang kemudiannya tular dengan lebih 323,900 tontonan, mencetuskan gelombang kekecewaan dalam kalangan netizen Malaysia terhadap pemandu yang terus melakukan ‘double park’ dan menyusahkan orang lain.

“Nak parking lama-lama tu, parking la dalam kotak yang telah disediakan. Kan dah menyusahkan orang lain. Apa dahh,” komen Epul Le.

“Belajar tinggi-tinggi pun tak guna menyusahkan masyarakat, hanya mementingkan diri sendiri,” komen Din Mohd Ali.

Pada masa yang sama, ramai yang memuji sekumpulan lelaki yang bekerjasama menggerakkan Axia dan membantu pemandu Vios.

“Terbaiklah yang sudi tolong alih tu, nasib baik Axia, kalau lori atau bas...,” komen Nur Ikhwan Lim Yee Chia secara berseloroh.

“Tolong menolong, Malaysia style,” komen Escape Hicom.