the sun malaysia ipaper logo 150x150
Monday, June 22, 2026
21.7 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Mesyuarat pegawai kanan ASEAN-China perhebat rundingan COC Laut China Selatan

KUCHING: Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN-China mengenai Deklarasi Tatalaku Pihak-Pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (DOC) akan menjadi platform penting untuk memperhebat rundingan memuktamadkan Kod Tatalaku (COC) di kawasan perairan itu.

Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin berkata fokus utama mesyuarat adalah memastikan semua pihak terus menghormati prinsip-prinsip yang telah dipersetujui di bawah DOC, yang menjadi asas kepada hubungan baik di rantau ini.

“Selain itu, mesyuarat juga akan memperhebat rundingan bagi memuktamadkan COC di Laut China Selatan dengan sasaran untuk menyelesaikannya pada atau sebelum Julai 2026.

“Kita perlu meningkatkan lagi usaha rundingan secara agresif dan aktif agar draf COC ini dapat dimuktamadkan mengikut jadual,” katanya selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Kompleks Satria Pertiwi di sini hari ini.

Beliau berkata mesyuarat itu, yang menghimpunkan para pegawai kanan negara anggota ASEAN dan China, juga adalah antara usaha memperkukuh hubungan serta kerjasama serantau.

“Perbincangan akan memberi tumpuan kepada langkah menjamin keamanan, keselamatan dan kemakmuran di rantau Asia Tenggara.

“Laut China Selatan semakin menjadi tumpuan antarabangsa, bukan sahaja bagi ASEAN dan China malah negara-negara di luar rantau ini,” katanya.

Amran berkata justeru itu, kerjasama rapat amat diperlukan untuk mengekalkan kestabilan.

Kementerian Luar dalam kenyataan pada Isnin lepas memaklumkan mesyuarat itu bertujuan mengukuhkan lagi pelaksanaan DOC yang ditandatangani pada 4 Nov 2002 oleh ASEAN dan China. – Bernama

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings