Pasukan Polis Marin Langkawi merampas lebih 5,000 unit peranti vape bernilai RM178,400 dalam operasi banteras penyeludupan di kawasan paya bakau
LANGKAWI: Pasukan Polis Marin (PPM) Langkawi merampas pelbagai peranti rokok elektronik atau vape bernilai RM178,400 dalam satu operasi awal pagi semalam.
Rampasan itu dilakukan kira-kira jam 1 pagi di kawasan terusan anak sungai Kampung Ewa, Ayer Hangat, hasil risikan Unit Risik Marin dengan kerjasama Balai Polis Ayer Hangat.
Pemeriksaan di kawasan paya bakau berhampiran anak sungai itu menemui beberapa kotak mencurigakan yang disusun dan ditinggalkan tanpa pengawasan.
“Hasil pemeriksaan mendapati kotak-kotak itu mengandungi pelbagai produk rokok elektronik (vape) daripada pelbagai jenis dan perisa,” kata Pemangku Komander PPM Wilayah 1 Supt Fakharuddin Amri Sanusi.
Tiada individu ditemui di lokasi kejadian dan tiada tangkapan dibuat semasa operasi Op Taring Landai itu.
Antara barangan yang dirampas ialah 3,140 unit RELX Pod Pro 2, 1,710 unit RELX Creator Pod, dan ratusan unit model RELX lain seperti Smash Go, Novo, Essential 2 dan Infinity 2 Plus.
Kesemua barangan rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Langkawi sebelum diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia Daerah Langkawi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 berkaitan memiliki barang larangan yang disyaki diseludup.
Fakharuddin menegaskan PPM komited membanteras kegiatan penyeludupan dan akan terus mempergiat rondaan serta operasi di perairan negara.








