the sun malaysia ipaper logo 150x150
Tuesday, July 28, 2026
29.3 C
Kuala Lumpur
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Fatwa GISBH menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar diwartakan – MAIS

State Election

Negeri Sembilan State Election 2026

1st August 2026 Negeri Sembilan, Malaysia
Learn more

SHAH ALAM: Fahaman, ajaran, pegangan atau amalan ahli GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dan rangkaiannya yang difatwakan menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar telah diwartakan dan disiarkan dalam Warta Kerajaan Negeri Selangor, Rabu lepas.

Berdasarkan fatwa yang diwartakan itu, mana-mana orang Islam di Selangor dilarang dan dibatalkan untuk beramal, berpegang, menjadi pengikut, mengajar, menyebarkan, mengembangkan dan menyokong fahaman, ajaran, pegangan atau amalan GISBH dan rangkaiannya.

Larangan itu termasuk apa-apa fahaman, ajaran, pegangan atau amalan lain yang mempunyai persamaan dengan amalan GISBH yang telah diharamkan itu.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata selaras dengan pewartaan fatwa tersebut, masyarakat di negeri itu dinasihatkan supaya menghormati dan tidak melakukan tindakan yang bercanggah dengan fatwa yang diwartakan.

“Mana-mana individu yang bertindak mengingkari, melanggar atau mempertikaikan fatwa yang telah diwartakan adalah melakukan kesalahan di bawah perenggan 12(c) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berhubung pemulihan akidah terhadap mereka yang mempunyai kaitan dengan syarikat berkenaan, Abdul Aziz berkata MAIS bersama agensi kerajaan negeri termasuk agensi hal ehwal Islam Selangor merangka dan menggerakkan pelan tindakan pemulihan kepada pengikut GISBH termasuk kanak-kanak dan orang dewasa.

Beliau berkata proses pemulihan akan dilaksanakan meliputi perlindungan, bimbingan, pemulihan akidah termasuk melalui proses istitabah (bertaubat) dan kaunseling.

Abdul Aziz berkata MAIS juga menyatakan sokongan yang padu terhadap program rehabilitasi secara sukarela yang ditawarkan oleh Kerajaan Persekutuan kepada pengikut atau ahli GISBH dan rangkaiannya baru-baru ini.

Program berkenaan, katanya selaras dengan fatwa yang diwartakan dan dalam hal itu, pengikut atau ahli GISBH dan rangkaiannya dialu-alukan untuk hadir secara sukarela bagi tujuan pemulihan tersebut.

Beliau turut menyatakan komitmen MAIS dan agensi Islam di Selangor untuk bekerjasama dan memberi bantuan dari aspek tenaga kerja, kewangan, fasiliti dan kemahiran sebagai sokongan terhadap program pemulihan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

Sebelum ini, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenankan fatwa yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa negeri bahawa pemimpin, pengikut, pekerja atau ahli GISBH dan rangkaiannya adalah menyeleweng daripada akidah Islam sebenar.

Dalam kenyataan menerusi Facebook Selangor Royal Office memaklumkan hal ini kerana pemimpin, pengikut, pekerja atau ahli GISB diyakini masih mengamalkan Aurad Muhammadiah atau Zikir Agung, dibawa oleh Kumpulan Darul Arqam yang diputuskan menyeleweng daripada akidah Islam sebenar menurut Warta No 54 yang disiarkan pada 4 Feb 1993.

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Melaka targets 1,000 shared fibre poles by year-end

Melaka aims to build 1,000 shared fibre poles by year-end, covering 5,000 homes, benefiting 20,000 residents.

Most Viewed

spot_img