the sun malaysia ipaper logo 150x150
Thursday, July 23, 2026
32 C
Kuala Lumpur
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Bunyi hon motosikal selamatkan enam sekeluarga daripada kebakaran

SUNGAI PETANI: Bunyi hon motosikal dari luar rumah menyelamatkan enam sekeluarga daripada terperangkap dalam kejadian kebakaran membabitkan lima buah rumah di Taman Sri Impian, Sidam Kiri, dekat sini, awal pagi tadi.

Md Razzi Hassan, 71, berkata ketika kebakaran berlaku dia bersama lima lagi ahli keluarga termasuk isteri, anak, menantu dan dua orang cucu, masing-masing sedang nyenyak tidur.

“Tiba-tiba terdengar bunyi bising hon motosikal di luar rumah…kami yang dalam keadaan terkejut bergegas menyelamatkan diri selepas menyedari rumah sedang terbakar.

“Sudah hampir 40 tahun saya tinggal di sini dan ini merupakan kali pertama kejadian kebakaran berlaku,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Sementara itu, seorang lagi mangsa Mohd Hariz Hazwan Abdul Aziz, 34, berkata dia mendengar bunyi letupan dari rumah bersebelahan yang mengejutkannya daripada tidur.

“Saya tidak sempat mencari kunci pagar rumah dan terpaksa memanjat pagar rumah untuk segera keluar. Syukur semuanya selamat, biarpun pada awalnya saya sesak nafas dan dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk menerima rawatan pesakit luar,” katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani Timbalan Penguasa Bomba Ismail Mohd Zain berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada 2.49 pagi.

“Keseluruhan rumah yang terbakar adalah lima buah, empat daripadanya musnah 90 peratus,” katanya dalam kenyataan.

Pegawai Pertahanan Awam Malaysia Daerah Kuala Muda Kapten (Pertahanan Awam) Azahar Ahmad pula berkata seramai 20 mangsa daripada enam keluarga yang terjejas akibat kebakaran itu ditempatkan di pusat pemindahan sementara Dewan Orang Ramai Taman Sri Impian yang dibuka pada pukul 9 pagi tadi.

“Kesemua keluarga akan diberikan kit bantuan makanan kecemasan Agensi Pengurusan Bencana Negara selain diminta membuat laporan polis. Keadaan terkawal dan tiada mangsa yang cedera,” katanya. –Bernama

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Powerwell proposes 116.1m bonus warrants to reward shareholders

The power distribution equipment manufacturer is rewarding shareholders with a five-year bonus warrant exercise that could also provide the group with additional working capital upon warrant conversion, without incurring borrowing costs.

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings