the sun malaysia ipaper logo 150x150
Monday, June 22, 2026
21.7 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Pengurusan kes lelaki cuba bunuh isteri di KLIA ditetapkan 25 Julai

SEPANG: Kes seorang pengurus syarikat agensi pelancongan yang didakwa atas cubaan membunuh isterinya dan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang pengawal peribadi kepada wanita itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada 25 Julai ini.

Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farahin Sasaruddin memaklumkan pihaknya memerlukan masa untuk melengkapkan dokumen iaitu laporan kimia dan asid deoksiribonukleik (DNA).

“Sehubungan dengan itu, pihak kami mohon mahkamah menetapkan tarikh baharu untuk pengurusan kes bagi serahan dokumen terbabit,” kata Nurul Farahin.

Peguam Nik Azim Azlan mewakili Hafizul Hawari turut memohon tarikh lain untuk pengurusan kes agar dokumen berkaitan kes itu dapat diserahkan oleh pihak pendakwaan secara sekali gus.

Pada 25 April lepas, Hafizul, 38, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan cuba membunuh isterinya Farah Md Isa, 38, di Balai Ketibaan Antarabangsa Aras 3, Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada 1.09 pagi, 14 April lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun serta denda, dan jika menyebabkan kecederaan hendaklah dipenjara hingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

Dia juga didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap pengawal peribadi isterinya itu, Mohd Nur Hadith Zaini, 38, dengan menggunakan pistol yang boleh menyebabkan kematian pada lokasi, tarikh dan masa yang sama.

Bagi pertuduhan itu, lelaki terbabit didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Pada 24 April, Hafizul mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan atas tujuh pertuduhan termasuk memiliki senjata api.

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings