KUALA LUMPUR: Industri gas Malaysia kekal kukuh dan berdaya tahan serta tidak terjejas akibat krisis tenaga global kerana industri itu dipandu oleh dasar yang betul, insentif mesra perniagaan dan kesediaan infrastruktur, kata Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi Datuk Yatimah Sarjiman.
Beliau berkata kerajaan bersama pihak berkepentingan utama lain, seperti Petroliam Nasional Bhd dan Tenaga Nasional Bhd, sentiasa mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan keterjaminan tenaga berterusan untuk negara.
“Dengan pelbagai sumber dan rangkaian luas infrastruktur penghantaran gas dengan kebolehpercayaan melebihi 99 peratus, gas asli memainkan peranan penting dalam memacu ekonomi, terutamanya sektor penjanaan kuasa, sekali gus memastikan keselamatan tenaga dan kebolehcapaian untuk negara.
“Industri gas Malaysia telah menyumbang kepada kesejahteraan keseluruhan sosio-ekonomi Malaysia melalui penciptaan peluang pekerjaan yang berkualiti, menyokong pengeluaran ekonomi, meningkatkan perdagangan luar kita dan memupuk industri dan syarikat tempatan menjadi pemain global.
“Industri petroleum dan gas menyumbang lebih daripada RM144 bilion dalan pengeluaran kasar pada 2021,” katanya dalam ucap tama beliau pada Simposium Gas Malaysia (MyGAS 2023) anjuran Persatuan Gas Malaysia (MGA) di sini, hari ini.
Yatimah berkata dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tengara Negara (NETR), gas asli dijangka menjadi bahan api peralihan, merangkumi 56 peratus daripada campuran jumlah bekalan tenaga utama (TPES) menjelang 2050.
Ini diikuti tenaga boleh baharu yang termasuk solar, hidro dan biotenaga, menyumbang 23 peratus daripada TPES pada 2050 daripada hanya empat peratus pada 2023.
Beliau berkata berdasarkan tinjauan, gas asli akan terus memainkan peranan penting dalam hala tuju peralihan tenaga Malaysia ketika negara bergerak ke arah ekonomi rendah karbon.
Sementara itu, presiden MGA, Abdul Aziz Othman berkata, walaupun negara menyasarkan matlamat dengan sasaran tinggi, adalah penting untuk mendekati peralihan dengan pemikiran yang realistik.
Beliau berkata industri dan ekosistem secara keseluruhannya mesti dilengkapi dan bersedia untuk bergerak ke arah hala tuju yang betul.
“Sebagai penyokong utama negara bagi industri gas, MGA komited untuk memainkan peranan sebagai jambatan antara penggubal dasar dan pemain industri dengan seberkesan yang mungkin,“ katanya.
Menyentuh usaha penyahkarbonan yang sedang dijalankan, Abdul Aziz berkata industri berkenaan telah memulakan banyak kerjasama bagi mengurus pelepasan karbon menerusi teknologi penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) di sepanjang rantaian nilai gas.
“Justeru, usaha menarik pelaburan kewangan adalah penting memandangkan teknologi CCUS pada masa ini berpotensi untuk menyingkirkan 90 peratus karbon dioksida yang terhasil daripada pembakaran gas di loji-loji tenaga,” katanya.
Beliau juga menyifatkan usaha ke arah liberalisasi penuh pasaran tenaga, termasuk gas dan elektrik diperlukan bagi mewujudkan industri gas yang mantap dan mampan, sekali gus dapat menarik pelabur dan penggiat pihak ketiga dalam memastikan keterjaminan dan kebolehpercayaan tenaga negara untuk jangka panjang.
Abdul Aziz turut menekankan bahawa Pelan Hala Tuju Gas Asli (NGR) yang dijangka dilancarkan oleh kerajaan pada 2024, perlu bersifat realistik dan pragmatik.
Malah, katanya, kalangan pakar industri gas berharap agar pelan strategik itu menggariskan hala tuju jelas bagi segmen berkenaan, menggalakkan pertumbuhan mampan serta memastikan bekalan untuk menampung peningkatan permintaan.
“Industri gas berharap NGR dapat menangani elemen-elemen utama ini dan menjadi pelan hala tuju menyeluruh dan mengambil kira usaha peralihan tenaga pada masa ini selain mengiktiraf peranan penting yang akan terus dimainkan oleh gas dalam memenuhi permintaan tenaga global,” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden Kesatuan Gas Antarabangsa (IGU) Andrea Stegher mengingatkan bahawa peralihan tenaga perlu mengikut keperluan khusus negara-negara sedang membangun yang berdepan pelbagai cabaran serta laluan berbeza dalam memastikan kejayaannya.
“Rantau Asia Tenggara kaya dengan simpanan gas asli yang besar dan boleh dimanfaatkan bagi menyalurkan tenaga bersih, terjamin dan berpatutan untuk peralihan tenaga secara teratur selain mengimbangi aspek kemampuan serta kemampanan tenaga secara lestari – baik dari segi alam sekitar dan kewangan.
“Sepertimana yang kita lihat pada tahun lepas, bekalan gas asli yang terhad hanya menyebabkan penggunaan tertinggi daripada sumber arang batu dan berleluasa dalam dunia yang jelas bercanggah dengan apa disasarkan (daripada Konvensyen Perubahan Iklim dan Perjanjian) Paris. Tahun lepas juga membuktikan bahawa peralihan tenaga ini adalah mustahil tanpa keterjaminan dan kemampuan tenaga.
“Oleh itu, adalah menarik untuk menyaksikan kemajuan Malaysia dalam usaha peralihan tenaga dan pembentangan di MyGAS hari ini hanya membuktikan bahawa negara ini berada di landasan yang tepat,” katanya.
MyGAS 2023 menampilkan barisan penceramah terkemuka daripada kalangan pemimpin industri dan penggubal undang-undang peringkat tempatan dan antarabangsa termasuk Kementerian Ekonomi, Gas Malaysia Bhd, TNB, IGU, Petronas Energy and Gas Trading Sdn Bhd, Persatuan Gas Indonesia dan Rystad Energy.–Bernama









