PUTRAJAYA: Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Kelantan, telah diminta mengambil tindakan segera berhubung keadaan jambatan gantung uzur yang merentasi Sungai Belatop di Kampung Brooke Lama, Pos Brooke, Gua Musang, Kelantan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dalam kenyataan hari ini, berkata sekiranya jambatan tersebut memerlukan proses baik pulih atau penambahbaikan, ia akan dilakukan demi keselamatan penduduk.
Kenyataan itu dikeluarkan merujuk laporan media yang lebih 500 penduduk Orang Asli dari Kampung Brooke Lama, berdepan risiko termasuk kehilangan nyawa apabila menggunakan jambatan gantung berusia 15 tahun yang sudah uzur, merentasi Sungai Belatop untuk urusan harian termasuk menghantar anak ke sekolah.
Setelah siasatan dilakukan susulan laporan media itu, Ahmad Zahid berkata beliau dimaklumkan jambatan tersebut bukanlah satu-satunya laluan keluar masuk, yang ada di kawasan tersebut.
Beliau berkata pihak Jakoa telah membina jalan konkrit di bahagian belakang kawasan kampung yang bersambung dengan jalan berturap tar menuju ke Kampung Orang Asli Liak dan Kuala Rengil, yang jalan konkrit tersebut merupakan laluan utama dan boleh diakses oleh kereta, pacuan empat roda dan motosikal. – Bernama









