Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim terima menghadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim, dibentangkan hasil Sidang Kemuncak ASEAN ke-47
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Bukit Tunku hari ini.
Menurut hantaran Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda dipersembahkan mengenai hasil Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung di ibu negara minggu lalu.
Pejabat Perdana Menteri semalam memaklumkan sebanyak 80 dokumen hasil diterima dan diluluskan sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dari 26 hingga 28 Oktober.
Dokumen tersebut termasuk Kenyataan Bersama Pemimpin ASEAN dengan Amerika Syarikat, Jepun, India, New Zealand dan Australia hasil daripada Sidang Kemuncak ASEAN+3.
Dokumen lain meliputi Sidang Asia Timur, Pemimpin Komuniti Pelepasan Sifar Asia dan Pemimpin Sidang Kemuncak Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau.
Satu lagi kejayaan penting ialah pemeteraian Perjanjian Damai KL antara Thailand dan Kemboja yang disaksikan Perdana Menteri dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.
Malaysia secara rasmi menyerahkan Kepengerusian ASEAN kepada Filipina secara simbolik.
Peralihan kepimpinan ini menandakan Malaysia memasuki fasa akhir selaku pengerusi ASEAN bagi tahun 2025. – Bernama










