the sun malaysia ipaper logo 150x150
Tuesday, June 23, 2026
22.2 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Beberapa Ketua Umno bahagian, penyandang kerusi DUN di Perak tidak mahu bertanding PRU15

IPOH: Beberapa Ketua Umno bahagian dan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak telah menyatakan hasrat untuk tidak menjadi calon pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Datuk Seri Saarani Mohamad (gambar) bagaimanapun enggan mendedahkan nama individu terbabit kerana tidak mahu keadaan politik semasa menjadi kelam-kabut.

“Memang ada yang nyatakan hasrat tidak mahu dicalonkan tetapi saya tidak boleh umum sekarang,“ katanya ketika ditanya mengenai keputusan Ketua Umno Bahagian Beruas Datuk Dr Azhar Ahmad yang mengumumkan menolak sebarang pencalonan untuk bertanding pada PRU15.

Azhar berkata keputusan itu, yang disifatkan sebagai berjiwa besar, adalah bagi memberi peluang kepada muka baharu bertanding pada PRU15.

Dalam perkembangan lain, Saarani yang juga Menteri Besar Perak berkata kerajaan negeri tidak pernah berniat melengah-lengahkan pembentangan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti dalam sidang DUN.

Beliau berkata rang undang-undang itu tidak sempat dibawa ke mesyuarat exco sebelum mendapat perkenan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah untuk dibentangkan.

“Sebarang notis usul memerlukan masa sekurang-kurangnya 14 hari untuk memanggil Sidang DUN namun perkara itu terlalu suntuk untuk diadakan.

“Kita perlu menunggu pihak Kerajaan Persekutuan mewartakan terlebih dahulu rang undang-undang berkenaan namun semasa Kerajaan Persekutuan mewartakan rang undang-undang itu, saya berada di Belgium (untuk lawatan kerja) dan minggu lepas adalah mesyuarat exco terakhir sebelum DUN dibubarkan, jadi memang tidak sempat,“ katanya.

Pada Isnin lepas, Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming mendakwa kegagalan kerajaan negeri mengadakan Sidang DUN khas bagi membentang dan meluluskan Pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri yang berkaitan dengan peruntukan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti bakal mewujudkan lagi episod ‘katak politik’ di negeri itu.

Nga mendakwa tindakan memohon pembubaran DUN tanpa meluluskan undang-undang itu dilihat sebagai taktik BN menarik wakil rakyat untuk melompat parti pada PRU15. – Bernama

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings