Monday, November 3, 2025
24.9 C
Malaysia
spot_img

Harga pas perjalanan tanpa had BAS.MY turun kepada RM30

The Sun Webdesk

Harga Pas Perjalanan Tanpa Had BAS.MY diturunkan daripada RM50 kepada RM30 sebulan untuk bantu rakyat jimat kos pengangkutan

JOHOR BAHRU: Harga Pas Perjalanan Tanpa Had bagi Kad 30 Hari BAS.MY di seluruh negara telah diturunkan daripada RM50 kepada hanya RM30 sebulan.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata penurunan harga yang berkuat kuasa serta-merta itu membolehkan rakyat menikmati perjalanan tanpa had dengan kos serendah RM1 sehari.

Beliau menyatakan penurunan harga ini bukan sahaja membantu meringankan kos sara hidup rakyat tetapi juga mampu menjimatkan perbelanjaan antara RM200 hingga RM300 setiap bulan.

Program Bas Berhenti-Henti Johor Bahru mencatat jumlah penumpang tertinggi di negara ini sejak mula dilaksanakan pada 2022 dengan jumlah keseluruhan 940,000 penumpang bagi tahun ini.

Pelaksanaan BAS.MY di Johor Bahru kini merangkumi 21 laluan iaitu penambahan tiga laluan daripada 18 laluan sebelum ini.

Kerajaan Persekutuan akan melabur sebanyak RM134.94 juta bagi tempoh dua tahun bersamaan dengan RM67.47 juta setahun bagi memastikan perkhidmatan Bas Berhenti-Henti Johor Bahru terus memberikan manfaat kepada rakyat.

Dengan sokongan berterusan daripada kerajaan pengendali BAS.MY Johor Bahru disaran supaya meningkatkan usaha agar mampu mencatat purata bulanan melebihi satu juta penumpang pada masa hadapan.

Inisiatif penurunan harga pas ini hanya terpakai untuk warganegara Malaysia manakala bukan warganegara masih perlu membayar tambang penuh.

Penurunan harga pas itu juga akan diperluas ke semua negeri yang mempunyai perkhidmatan BAS.MY supaya lebih ramai rakyat dapat menikmati manfaat sama.

Perkhidmatan tambahan BAS.MY Medik iaitu van khas bagi membawa pesakit dialisis Orang Kurang Upaya dan pengguna kerusi roda akan mula dilaksanakan di Johor Bahru menjelang hujung tahun ini.

Perkhidmatan berasaskan permintaan itu merupakan sebahagian daripada syarat yang dikenakan kepada pengendali perkhidmatan bas bagi memastikan kemudahan mobiliti turut dinikmati golongan memerlukan.

Dua van akan disediakan dan telah diubah suai bagi kegunaan pesakit termasuk Orang Kurang Upaya serta pengguna kerusi roda.

Van ini akan mengambil pesakit dari rumah untuk dibawa ke pusat dialisis hospital atau klinik.

Tempahan perkhidmatan boleh dibuat melalui aplikasi mudah alih atau panggilan telefon bergantung pada kesesuaian pengguna.

Kadar tambang bagi Projek Transit Aliran Johor Bahru–Singapura masih belum ditetapkan dan akan dimuktamadkan bersama dengan pihak operator sebelum operasi bermula. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories

spot_imgspot_img