Tuesday, November 4, 2025
23 C
Malaysia
spot_img

Skim BUDI95 pemandu e-panggilan diaktifkan pertengahan setiap bulan

The Sun Webdesk

Pemandu e-panggilan layak subsidi RON95 hingga 800 liter sebulan berdasarkan jarak perjalanan, dengan sistem kelayakan berperingkat diaktifkan pertengahan bulan.

PUTRAJAYA: Skim kelayakan berperingkat di bawah program subsidi bersasar BUDI MADANI RON95 (BUDI95) bagi pemandu e-panggilan akan diaktifkan pada pertengahan setiap bulan.

Kementerian Kewangan menyatakan langkah itu sebahagian daripada penambahbaikan Kerajaan MADANI bagi memastikan penyaluran subsidi lebih saksama dan terangkum.

Ia juga bertujuan memelihara mata pencarian pemandu e-panggilan serta teksi lapangan terbang.

Bagi pemandu e-panggilan, tahap kelayakan tambahan BUDI95 ditentukan berdasarkan jarak perjalanan yang direkodkan dalam sistem syarikat pengendali e-panggilan pada bulan sebelumnya.

Mereka yang memandu kurang daripada 2,000 kilometer akan menikmati 300 liter asas.

Pemandu dengan jarak 2,000 hingga 5,000 kilometer layak menerima tambahan 300 liter, menjadikan jumlah keseluruhan 600 liter.

Pemandu yang melebihi 5,000 kilometer akan menerima tambahan 500 liter, menjadikan keseluruhan 800 liter sebulan.

Data jarak perjalanan akan disahkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat serta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan di Sabah dan Sarawak berdasarkan laporan bulanan daripada syarikat pengendali e-panggilan.

“Penetapan nilai ambang baharu diturunkan daripada 3,000 km kepada 2,000 km serta penambahan kategori melebihi 5,000 km dibuat selepas kajian oleh MOF terhadap corak perjalanan dan penggunaan sebenar subsidi pemandu e-panggilan,” menurut kenyataan itu.

Bagi pemandu teksi lapangan terbang, syarikat pengendali boleh memohon kad flit di bawah Skim Kawalan Petrol dan Diesel Subsidi kendalian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Mereka boleh menikmati hingga 800 liter RON95 bersubsidi setiap bulan.

Bagaimanapun, limousin lapangan terbang yang tidak dikawal selia kadar tambangnya oleh APAD tidak layak memohon di bawah skim berkenaan.

Maklumat lanjut berhubung kriteria tambahan BUDI95 akan diumumkan oleh APAD dan LPKP.

Permohonan kad flit boleh dibuat melalui portal https://mysubsidi.kpdn.gov.my.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini dilapor berkata kerajaan bersetuju meningkatkan had kelayakan BUDI95 bagi pemandu e-panggilan yang layak hingga 800 liter sebulan.

Keputusan itu dibuat setelah kerajaan meneliti rayuan pemandu e-panggilan berdasarkan kegunaan sebenar. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories

spot_imgspot_img