Bayi lelaki baru lahir ditemui tanpa berpakaian dalam rumah pembinaan di Bachok, polis buka siasatan bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan.
BACHOK: Seorang bayi lelaki yang dipercayai baru dilahirkan ditemui di sebuah rumah yang masih dalam pembinaan berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Pak Badol, Gunong di sini.
Ketua Polis Daerah Bachok Supt Mohamad Ismail Jamaluddin berkata pihaknya menerima laporan mengenai penemuan bayi itu daripada petugas Klinik Kesihatan Mahligai pada pukul 8.45 pagi.
“Bayi lelaki ini ditemui tanpa berpakaian dan dibalut menggunakan sehelai kain berwarna hijau di dalam rumah yang masih dalam pembinaan oleh orang awam yang berada di lokasi berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Pemeriksaan awal doktor mendapati bayi berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal, namun terdapat kesan kemerahan pada bahagian muka disyaki baru dilahirkan.
Mohamad Ismail berkata bayi itu telah dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian untuk pemeriksaan lanjut dan dilaporkan dalam keadaan stabil.
Beliau berkata pihak polis sedang menjalankan siasatan di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan bagi mengenal pasti individu yang bertanggungjawab.
“Pihak kami menyeru mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung kes ini untuk segera menghubungi Pegawai Penyiasat Sarjan Nurul Aida Jafar di talian 014-2714926 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – Bernama









