Speaker Dewan Rakyat pastikan resolusi Parlimen Belia dibawa ke Parlimen sebenar melalui Jawatankuasa Pilihan untuk jadi dasar.
BANGI: Segala keputusan dan resolusi yang diputuskan dalam Parlimen Belia Malaysia akan diangkat ke peringkat Parlimen sebenar melalui Jawatankuasa Pilihan.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul menegaskan langkah ini memastikan pandangan dan idea wakil Parlimen Belia diterjemah kepada cadangan dasar serta perbincangan di Dewan Rakyat.
“Maknanya idea-idea mereka tidak dilupai,” katanya kepada media selepas menghadiri Program Town Hall Parlimen Belia Malaysia di sini.
Program itu menghimpunkan kira-kira 250 pemimpin pelajar daripada universiti awam, universiti swasta serta pertubuhan bukan kerajaan.
BACA: Parlimen Belia Malaysia perkasakan sistem baharu sasar kepimpinan berwawasan
Johari menjelaskan Parlimen Belia kini berperanan sebagai “inkubator” melatih pemimpin muda berusia 18 hingga 30 tahun memahami matlamat kepimpinan dan tanggungjawab terhadap masyarakat.
Antara pembaharuan diperkenalkan termasuk latihan kolaborasi melalui tujuh parti simulasi serta pendedahan sistem pilihan raya perwakilan berkadar.
Beliau menekankan pendedahan awal kepada sistem politik dan nilai kepimpinan penting bagi membentuk golongan muda ke arah melahirkan pemimpin masa depan berwibawa.
“Kalau kita tidak buat begini, saya rasa kita tidak akan mencapai cita-cita menjadi sebuah negara gemilang pada masa depan,” ujarnya.
Johari berharap program itu meningkatkan kefahaman belia terhadap proses demokrasi negara berbanding objektif asal Parlimen Belia ketika diwujudkan pada 2014.
Dengan sokongan dana kerajaan, beliau menjangkakan peserta Parlimen Belia kini mendapat ilmu baharu serta peningkatan pendedahan demokrasi. – Bernama









