Kementerian Belia dan Sukan haramkan atlet bawah 15 tahun sertai sukan tempur sentuhan penuh tanpa pelindung keselamatan berkuat kuasa hari ini.
PUTRAJAYA: Semua penganjur acara sukan tempur dilarang melibatkan atlet bawah umur 15 tahun dalam acara sentuhan penuh tanpa pelindung keselamatan.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menegaskan mereka mesti mengikut peraturan badan pengelola kebangsaan masing-masing.
Penyertaan atlet bawah 15 tahun bagi sukan seperti MMA, Muay Thai, kickboxing dan tinju hanya dibenarkan dalam kejohanan rasmi anjuran persatuan sukan berdaftar.
“Berkuat kuasa hari ini. Saya ada kuasa di bawah Akta Pembangunan Sukan untuk memastikan acara sukan berjalan dengan teratur dan selamat,” katanya di Menara KBS.
BACA: Malaysia hantar atlet terbaik ke Sukan SEA Thailand 2025
Beliau menambah langkah ini diambil bersama Pesuruhjaya Sukan untuk memastikan kelulusan acara disertai syarat keselamatan.
Pesuruhjaya Sukan akan diberi tanggungjawab mengkaji mekanisme kawal selia acara sukan tempur.
Mereka akan memastikan keselamatan serta integriti pertandingan ‘tempur tanpa senjata’.
Pesuruhjaya Sukan juga akan menyelia pengumpulan data berkaitan kejohanan dan jumlah atlet.
Data kadar kecederaan dan insiden kesihatan turut dikumpul.
“Statistik ini akan menjadi asas kepada pembangunan dasar serta garis panduan yang diperincikan kelak,” ujar Hannah.
Langkah ini menunjukkan kesungguhan KBS memastikan penganjuran sukan tempur dijalankan secara selamat dan profesional.
Ia juga bertujuan melindungi kebajikan atlet khususnya kanak-kanak.
Presiden Persatuan Muaythai Malaysia Datuk Muhammad Shahnaz Azmi memaklumkan pihaknya kini tidak benarkan atlet kanak-kanak dalam acara profesional.
Beliau menjelaskan perbezaan utama antara kategori profesional dan amatur adalah pada tahap kecederaan fizikal.
“Amatur berdasarkan mata dan kemahiran dengan mereka akan memakai pelindung keselamatan,” katanya.
Manakala dalam kategori profesional, atlet boleh lawan sampai kalah mati.
“Tapi kalau amatur, tengok macam atlet tidak boleh melindungi diri, anda perlu dihentikan,” tambahnya. – Bernama









