Saturday, November 8, 2025
26.2 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150
spot_img

Buku ‘Tough As Nails’ dilancar, tonjol kisah ketabahan 8 individu

The Sun Webdesk

Pengerusi Bernama lancar buku ‘Tough As Nails’ karya Christina SS Ooi, himpun kisah benar 8 individu yang tabah hadapi cabaran hidup

KUALA LUMPUR: Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai hari ini melancarkan buku baharu oleh pengarang dan peguam Dr Christina SS Ooi “Tough As Nails”.

Memaparkan kisah ketabahan lapan individu, Wong berkata buku tersebut menonjolkan kekuatan penceritaan Ooi dan keupayaannya menggambarkan semangat manusia dalam perjuangan hidup.

Beliau berkata tajuk buku itu sendiri melambangkan ketahanan dan keberanian, mencerminkan kehidupan lapan individu berkenaan dan keazaman pengarang sepanjang perjalanan profesionalnya selama beberapa dekad.

Tough As Nails mempamerkan kisah individu yang telah menghadapi cabaran paling sukar dalam hidup dan bangkit lebih kuat,” katanya pada majlis pelancaran buku berkenaan, di sini hari ini.

Mengimbas kembali persahabatan mereka sejak zaman mahasiswa di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Wong melihat Ooi sebagai paling berpotensi besar untuk berjaya dan seorang penuntut ilmu sepanjang hayat. 

“Christina sememangnya seorang yang tekad, fokus dan rajin belajar. Dari UKM sehinggalah beliau memegang pelbagai peranan profesional di seluruh Asia Pasifik, beliau terus menongkah arus,”  katanya.

Wong berkata minat mendalam Ooi terhadap kepimpinan insaniah sudah terbukti dalam buku pertamanya yang diterbitkan 16 tahun lepas, yang membahaskan tentang inovasi dan kuasa manusia ke atas teknologi.

“Dengan buku baharu ini, Christina sekali lagi mengingatkan kita bahawa kekuatan bukanlah tiadanya pergelutan tetapi keberanian untuk mengatasinya,” katanya.

Sementara itu, Ooi berkata motivasi di sebalik projek buku itu datang daripada keinginannya untuk mewariskan pelajaran hidup yang bermakna kepada generasi akan datang.

Menurutnya empati dan hubungan manusia sangat penting dalam dunia yang semakin pantas dan tidak menentu.

“Saya cuma ingin berkongsi dengan generasi muda, dengan generasi akan datang, supaya mereka benar-benar belajar menghargai hubungan sesama manusia.

“Kita memerlukan orang di sekeliling kita dan kita harus membantu antara satu sama lain dalam masa sukar dan dalam masa tidak menentu seperti hari ini,” katanya.

Tough As Nails menghimpunkan kisah benar lapan rakyat Malaysia yang telah mengharungi cabaran luar biasa dan memperoleh keberanian untuk bangun semula.

Ia menjelajah kuasa ketabahan melalui “3R” (Reset, Restart, and Re-Chart) iaitu Tetapkan Semula, Mulakan Semula dan Cartakan Semula yang memberi pembaca perspektif baharu untuk mengatasi kesusahan dan memulakan episod baharu. 

Naskhah ini menampilkan kisah Amber Chia, Julie Das, Karen Loh, Dr Parthiban Navoo, Priscilla Ong, Roger Hew, Venon Tian dan Dr William Tan, individu dari latar belakang berbeza yang telah menyumbang bakti kepada masyarakat. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories

spot_imgspot_img