KDN akan buka semula siasatan kes kehilangan Raymond Koh dan Amri Che Mat selepas arahan mahkamah, termasuk ganti rugi RM40 juta.
PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi tumpuan penuh terhadap pelaksanaan arahan mahkamah dalam kes kehilangan Pastor Raymond Koh dan aktivis Amri Che Mat.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata fokus semasa adalah terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menggariskan dua perkara penting.
“Jumaat lepas saya telah bertemu dengan pasukan daripada AGC yang menguruskan kes ini,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Hari Antipemerdagangan Orang Sedunia di sini.
Beliau berkata arahan mahkamah menghendaki polis kembali menyiasat kes tersebut dan mengemukakan keberadaan Pastor Koh.
Amri dilaporkan hilang pada 24 November 2016 manakala Koh pada 13 Februari 2017.
Pada 5 November, mahkamah memerintahkan kerajaan membayar ganti rugi keseluruhan berjumlah RM3,264,457.52 kepada isteri Amri, Norhayati Mohd Ariffin.
Mahkamah turut memerintahkan kerajaan membayar lebih RM37 juta kepada isteri Koh, Susanna Liew.
Keputusan itu dibuat selepas mahkamah membenarkan saman yang difailkan oleh kedua-dua wanita terhadap kerajaan dan polis.
Dalam perkembangan lain, Saifuddin Nasution berkata polis akan mengambil tindakan sewajarnya bagi menjejaki bekas suami Indira Gandhi, Muhammad Riduan Abdullah.
Ia susulan laporan portal yang mendakwa Muhammad Riduan masih berada di Malaysia dan menerima manfaat bantuan kerajaan.
“Saya akan terus memastikan pihak polis mengambil langkah yang sewajarnya,” katanya. – Bernama






