MCMC dan PDRM rangka gerak kerja bersepadu banteras kecurian kabel, vandalisme menara telekomunikasi yang catat kerugian jutaan ringgit.
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama penyedia perkhidmatan telekomunikasi sedang merangka gerak kerja bersepadu dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membanteras kecurian kabel dan vandalisme menara telekomunikasi.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata kerjasama itu termasuk melaksanakan lawatan ke premis perniagaan dan pusat pengumpulan barang lusuh yang berpotensi menjadi lokasi penyimpanan barangan curi.
“Premis perniagaan dan pengumpulan barang lusuh berpotensi menjadi lokasi penyimpanan barangan dicuri seperti kabel tembaga, bateri dan peralatan elektronik,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Mordi Bimol mengenai statistik kes kecurian dan vandalisme menara telekomunikasi sejak 2024 di Sarawak, khususnya di kawasan Mas Gading.
Pada tahun 2023, Sarawak mencatatkan tiga kes kecurian kabel dan 1,116 kes vandalisme menara telekomunikasi dengan jumlah kerugian dianggarkan RM9.3 juta.
Sehingga suku kedua 2024, sebanyak 33 kes kecurian dan 334 kes vandalisme direkodkan melibatkan kerugian sebanyak RM3.48 juta.
Bagi meningkatkan keselamatan menara di bawah inisiatif JENDELA, pemberi perkhidmatan telah memperkasa tapak menara telekomunikasi berisiko dengan pemasangan kelengkapan anti kecurian.
Antara langkah keselamatan termasuk pemasangan sesalur besi untuk mengelakkan kabel tembaga dipotong dan dicuri.
Pemasangan pagar dan kunci keselamatan tambahan di ruangan kabinet yang menempatkan peralatan elektronik dan bateri juga dilaksanakan.
Bagi kawasan berisiko tinggi, pemasangan CCTV dan sistem penggera turut dilaksanakan bagi mengurangkan risiko kecurian dan vandalisme.
Peralatan di tapak menara telekomunikasi juga dilengkapi dengan peranti pengesan yang menghantar isyarat kepada pemberi perkhidmatan sekiranya berlaku pencerobohan atau kerosakan sistem pemancar. – Bernama






