the sun malaysia ipaper logo 150x150
Monday, February 2, 2026
22.2 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150
spot_img

Anwar kongsi suara ASEAN di sidang kemuncak G20 Afrika Selatan

PM Anwar Ibrahim akan sampaikan pandangan ASEAN di sidang kemuncak G20, fokus kepada ekonomi mampan dan perubahan iklim sebagai Pengerusi ASEAN 2025

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka berkongsi pengalaman dan suara ASEAN dalam menghadapi cabaran ketidaktentuan global pada Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20) di Afrika Selatan, Sabtu ni.

Beliau, yang akan diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, dijangka tiba di Johannesburg pada 20 November, sekitar jam 7.00 malam dari Addis Ababa, Ethiopia.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Afrika Selatan Datuk Yubazlan Yusof berkata Anwar, yang juga Menteri Kewangan akan mengetuai delegasi Malaysia dalam lawatan kerja berkenaan yang bermula 20 Nov – 23 Nov 2025.

Beliau berkata Anwar diundang menghadiri sidang kemuncak G20 yang bermula 22 Nov sehingga 23 Nov itu atas kapasiti Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.

“Perdana Menteri akan memanfaatkan platform ini untuk menyumbang secara konstruktif kepada perbincangan berkaitan isu ekonomi global dan alam sekitar, khususnya yang berkepentingan kepada negara-negara Selatan Global,” kata Yubazlan pada sidang media yang diadakan secara maya pada Rabu.

Beliau berkata semasa sidang kemuncak itu Anwar akan menyampaikan kenyataan negara pada Sesi 1 bertajuk “Inclusive and Sustainable Economic Growth Leaving No One Behind: Building Our Economies; the Role of Trade; Financing for Development; and the Debt Burden”, yang diadakan di sebelah pagi 22 Nov.

Pada sebelah petangnya pula Perdana Menteri akan menyampaikan kenyataan negara pada Sesi 2 yang bertajuk “A Resilient World – the G20’s Contribution: Disaster Risk Reduction; Climate Change; Just Energy Transitions; Food Systems”. 

Anwar kemudiannya akan menghadiri Majlis Makan Malam Pemimpin-Pemimpin G20 yang dihoskan oleh Presiden Afrika Selatan Matamela Cyril Ramaphosa di NASREC Expo Centre.

Terdahulu pada 21 November,  Perdana Menteri dijadualkan mengadakan kunjungan hormat terhadap Ramaphosa.

Yubazlan berkata ini selaras dengan hasrat Malaysia untuk terus meneroka kerjasama baharu dengan Afrika Selatan susulan pertemuan kedua-dua pemimpin berkenaan ketika Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Terdapat banyak peluang untuk diteroka antara kedua-dua negara, antaranya dalam hab halal, keterjaminan makanan, agro komoditi, industri nadir bumi serta teknologi tinggi.

“Selain itu, potensi juga dapat dilihat dalam pendidikan dan pembangunan kapasiti,” katanya.

Menurutnya, Anwar turut dijadualkan bertemu dengan Naib Presiden Botswana Ndaba Nkosinathi Gaolathe.

Selain itu Perdana Menteri juga akan mengadakan pertemuan dengan komuniti Islam, pemain utama industri tempatan selain sesi ramah mesra dengan kira-kira 120 orang diaspora Malaysia di Johannesburg.

Anwar juga akan ditemu bual oleh Dr. Sizwe Mpofu-Walsh, seorang pensyarah universiti, penyampai audio siar (podcaster) dan aktivis terkenal, yang akan menyentuh beberapa isu antara lainnya hubungan Malaysia-Afrika Selatan, isu Palestin, aspirasi Malaysia menjadi ahli penuh BRICS dan reformasi tadbir urus global.

Pada hari terakhir lawatan, Perdana Menteri akan menghadiri Sesi 3 Sidang Kemuncak G20 yang bertajuk “A Fair and Just Future for All – Critical Minerals; Decent Work; Artificial Intelligence”.

Beliau dan delegasi Malaysia kemudiannya akan bertolak ke Nairobi, Kenya, bagi lawatan rasmi, yang juga merupakan negara terakhir dalam siri lawatan ke benua Afrika itu. – Bernama

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories