Ahli perniagaan bergelar Datuk didakwa tipu wanita RM500,000
KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu seorang wanita berjumlah RM500,000.
Ridzuan Abdullah, 38, didakwa memperdaya wanita berusia 49 tahun itu supaya memindahkan wang tersebut bagi tujuan mendapatkan keuntungan perniagaan salutan lantai.
Perbuatan itu dilakukan di Jalan Air Molek 1, Taman Tasik Titiwangsa antara 1 Januari hingga 10 Julai 2018.
Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun serta sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nurainizatul Farhana Zainal menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan.
Syarat tersebut termasuk tertuduh melaporkan diri sebulan sekali di balai polis dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Peguam Najib Zakaria memohon jaminan lebih rendah dengan alasan anak guamnya memberikan kerjasama baik kepada pihak berkuasa.
Hakim Norma Ismail membenarkan Ridzuan diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti dimohon pihak pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 5 Januari 2026 untuk sebutan kes bagi serahan dokumen.







