Sabah bakal jadi negeri pertama terima dua Tabika KEMAS khas autisme di Kota Kinabalu dan Sandakan mulai 2026 sebagai projek fasa awal
KIMANIS: Sabah bakal muncul sebagai negeri pertama di Malaysia menerima dua Taman Bimbingan Kanak-Kanak KEMAS khas autisme.
Kedua-dua tabika itu akan dibuka di Kota Kinabalu dan Sandakan mulai tahun hadapan sebagai projek fasa awal.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata keutamaan itu diberikan memandangkan keluasan Sabah dan keperluan akses pendidikan inklusif.
“Untuk autisme, untuk di Sabah kita akan bagi keistimewaan. Kita mula dua dulu dan kita akan lihat, jika di kawasan Tawau memerlukan satu lagi, kita akan buat tiga untuk tahun hadapan, 2026,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sentuhan Kasih Desa @ Bongawan di sini.
Beliau berkata langkah ini penting kerana ramai ibu bapa terpaksa menjaga anak autisme di rumah atau hantar ke pusat swasta yang mahal.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata negeri lain hanya akan mulakan dengan satu Tabika Autisme.
“Tahun hadapan satu negeri satu sahaja, tetapi di Sabah kita mula dua. Pada 2027 seluruh daerah di Malaysia ini kita akan buat satu tabika autisme bagi satu daerah,” katanya.
Kerajaan akan memohon peruntukan tambahan melalui Belanjawan 2027 untuk memperbanyak tadika autisme di Sabah dan Sarawak.
Ahmad Zahid turut memuji pencapaian Sabah dalam program Tabika KEMAS Pra Tahfiz yang terbaik di seluruh negara.
“Kesyukuran saya kepada Allah bahawa Tabika KEMAS Pra Tahfiz di Sabah yang terbaik di seluruh negara,” katanya.
Kejayaan itu menggambarkan keterbukaan masyarakat pelbagai etnik dan agama di Sabah terhadap pendidikan berteraskan nilai. – Bernama







