Tiga timbalan ketua menteri Sabah baharu, Joachim Gunsalam, Masidi Manjun dan Ewon Benedick, angkat sumpah di Istana Seri Kinabalu hari ini
KOTA KINABALU: Tiga timbalan ketua menteri baharu Sabah telah mengangkat sumpah jawatan hari ini.
Mereka ialah Pemangku Presiden PBS Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, Setiausaha Agung GRS Datuk Seri Masidi Manjun dan Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick.
Ketiga-tiga mereka mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Negeri Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu.
Istiadat Angkat Sumpah Anggota Kabinet Sabah itu diadakan susulan Pilihan Raya Negeri ke-17 Sabtu lepas.
Pada awal pagi Ahad, Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor telah mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri ke-17.
Keputusan rasmi PRN menyaksikan GRS memperoleh 29 daripada 73 kerusi DUN yang dipertandingkan.
Parti Warisan mendapat 25 kerusi diikuti Barisan Nasional dengan enam kerusi.
Bebas memenangi lima kerusi manakala UPKO mendapat tiga kerusi.
Parti Solidariti Tanah Airku atau STAR memenangi dua kerusi.
Perikatan Nasional, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat serta Pakatan Harapan masing-masing menang satu kerusi. – Bernama







