Parlimen lulus RUU Keselamatan Sosial Pekerja, perkenal Skim Lindung 24/7 PERKESO untuk hampir 10 juta pekerja, jimat kos RM600 juta
KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2025 yang diluluskan Dewan Rakyat semalam merupakan satu perubahan bersejarah.
Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata pindaan itu memperkenalkan Skim Lindung 24/7 di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Beliau berkata ia kali pertama sejak 1969 pekerja dilindungi secara menyeluruh sepanjang masa, termasuk di luar waktu bekerja.
“Pekerja Malaysia kini akan dilindungi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu dan setiap masa, bila-bila masa!”
“Hal ini akan menjimatkan kos bagi pekerja, keluarga mereka, majikan dan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sim menganggarkan Skim Lindung 24/7 mampu menjimatkan hingga RM600 juta wang pembayar cukai pada tahun pertama pelaksanaan.
Penjimatan itu adalah bagi perbelanjaan perubatan dan bantuan kebajikan.
Beliau berkata pelaksanaan skim itu bakal memberi manfaat kepada hampir 10 juta pekerja formal di seluruh negara.
RUU yang diluluskan semalam bertujuan memperkenalkan perlindungan menyeluruh kepada pekerja sepanjang masa. – Bernama







