Perdana Menteri Anwar Ibrahim menggesa penjawat awam pamer prestasi lebih baik selaras pelarasan gaji SSPA, bagi memastikan rakyat terima manfaat terbesar.
PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa penjawat awam mempamerkan prestasi perkhidmatan yang lebih baik.
Beliau berkata peningkatan itu wajar selaras dengan pelarasan gaji yang dilaksanakan menerusi Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
“Saya telah beritahu kepada KSN, KPPA terutama Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican (untuk) pantau supaya prestasi penjawat awam jauh lebih baik daripada yang pernah kita catat sebelumnya,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian penutup Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku di sini hari ini.
Anwar mengarahkan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz untuk memantau prestasi semua penjawat awam.
Beliau berkata Kerajaan MADANI sentiasa prihatin dengan aspek kebajikan penjawat awam.
Perkara itu mendorong kepada pelaksanaan SSPA yang diumumkan pada Ogos 2024.
Melalui skim itu, pegawai Kumpulan Pelaksana dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional yang memilih SSPA akan menerima pelarasan gaji sebanyak 15% secara berfasa.
Mereka akan menerima 8% bagi Fasa 1 pada Disember 2024 dan 7% untuk Fasa 2 pada Januari 2026.
Anwar turut mengumumkan pesara dan penerima pencen terbitan akan menerima pelarasan pencen sama dengan kenaikan peratusan yang dinikmati penjawat awam sedang berkhidmat.







