ATM, khususnya Tentera Darat, komited teruskan program CIMIC atau Jiwa Murni pada 2026, tertakluk kelulusan peruntukan kewangan.
SEMENYIH: Angkatan Tentera Malaysia (ATM), khususnya Tentera Darat, komited untuk meneruskan pelaksanaan program Civil-Military Cooperation (CIMIC) atau Program Jiwa Murni (PJM) pada 2026.
Panglima Divisyen Keempat Infantri Malaysia (4 Divisyen), Mejar Jeneral Datuk Khairul Azmizal Ahmad Natal, berkata program itu tertakluk kepada kelulusan dan penerimaan peruntukan kewangan.
“Program ini akan diteruskan oleh ATM, khususnya Tentera Darat,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Perasmian Program Engineering Civic Action (ENCAP) peringkat 4 Divisyen di Dewan Kampung Pasir Baru.
Beliau berkata peruntukan untuk tahun hadapan masih belum diterima dan keutamaan akan ditentukan berdasarkan keperluan serta kemampuan ATM.
Sepanjang 2025, kira-kira RM165,000 telah diperuntukkan bagi pelaksanaan program CIMIC oleh 4 Divisyen ATM.
Pelbagai program telah dilaksanakan termasuk ENCAP, Program Bertanya Khabar, gotong-royong, sumbangan kepada asnaf, dan pemeriksaan kesihatan.
Mengulas pelaksanaan ENCAP di Kampung Pasir Baru, Khairul Azmizal berkata 2 Rejimen Askar Jurutera Diraja (2 RAJD) diberi tanggungjawab melaksanakan kerja pembaikan dewan orang ramai.
Projek berkenaan berjaya disiapkan sebelum akhir tahun dan kini boleh dimanfaatkan penduduk sebagai kemudahan komuniti.
“Setakat pengalaman saya, penerimaan masyarakat kampung terhadap ATM amat baik dan positif,” katanya.
Beliau berkata pelaksanaan program Jiwa Murni merupakan pendekatan lama ATM sejak era ancaman Parti Komunis Malaya.
“Walaupun ancaman komunis tamat pada 1989, pendekatan mendekati masyarakat awam terus dilaksanakan,” ujarnya.
Dalam konteks bencana, beliau berkata membantu pihak awam merupakan tugas sekunder ATM dan peranan itu akan terus dilaksanakan apabila diarahkan. – Bernama








