Seramai 617 pegawai JKM Sarawak siap digerak untuk pengurusan bencana banjir, dengan sokongan psikologi bagi mangsa di pusat pemindahan.
KUCHING: Seramai 617 pegawai dan kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak bersedia digerakkan untuk perkhidmatan pengurusan bencana termasuk banjir.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata 13 pegawai psikologi juga telah disiap sedia untuk memberikan bantuan.
“Dari segi pegawai dan kakitangan kita memang sedia secara maksimum, kita juga ada pasukan sokongan psikologi (PST) seramai 270 orang dan sukarelawan JKM seramai 230 orang,” katanya.
Beliau menekankan komitmen untuk memastikan keselesaan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS), terutamanya kanak-kanak.
Nancy berkata demikian selepas melawat PPS Surau Ar-Rahman, Kampung Sungai Batu di sini.
Setakat petang ini, jumlah mangsa banjir di Sarawak dicatatkan sebanyak 1,178 orang daripada 300 keluarga dengan 10 PPS aktif.
Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, mangsa terlibat adalah dari beberapa kawasan sekitar Kuching.
Kawasan terjejas termasuk Taman Desa Wira, Kampung Sinar Budi Baru, Kampung Sungai Batu dan Kampung Surih Iban.
Turut terjejas ialah Taman Malihah, Kampung Tengah Sungai, Kampung Rantau Panjang dan Kampung Sungai Maong.
Banjir juga melanda Kampung Plaie di Kota Samarahan dan Kampung Siang Siang di Lawas.








