MINDEF arah ATM jalankan siasatan dalaman berhubung dakwaan individu luar masuk kem dan aktiviti tidak bermoral yang tular di media sosial
KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (MINDEF) mengarahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjalankan siasatan dalaman berhubung dakwaan kegiatan tidak bermoral di kem tentera.
Arahan itu dibuat susulan dakwaan tular di media sosial mengenai kemasukan individu tidak berkaitan dan wujudnya aktiviti tidak bermoral di dalam kem.
MINDEF memandang serius dakwaan tersebut kerana ia tidak mencerminkan budaya, nilai dan amalan sebenar ATM.
ATM berteraskan disiplin, profesionalisme serta pematuhan ketat terhadap prosedur keselamatan.
“Jika didapati benar, tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak selaras dengan peraturan, tatacara serta undang-undang semasa,” menurut kenyataan MINDEF.
Kenyataan itu menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau kesimpulan awal yang boleh mengelirukan.
MINDEF dan ATM komited memastikan disiplin, integriti dan profesionalisme warga pertahanan berada pada tahap tertinggi.
Mereka tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang perlakuan yang boleh menjejaskan imej dan kredibiliti institusi pertahanan negara.
Dakwaan mengenai aktiviti tidak bermoral di kem-kem askar melibatkan individu luar dan pegawai tentera telah tular sejak semalam.








