Datuk Razali Idris didenda RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas didapati bersalah mengeluarkan kenyataan menghasut
KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri Kijal Datuk Razali Idris didenda RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan.
Hakim Norma Ismail membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Razali gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.
Tertuduh diperintahkan menjalani hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda.
Razali yang juga bekas Ketua Penerangan Bersatu didakwa menyebut perkataan menghasutan dengan mendakwa keputusan satu kes mahkamah dikawal oleh kerajaan.
Beliau melakukan kesalahan itu di Padang Astaka Chukai, Kemaman, Terengganu pada 10 November 2023.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM5,000.
Timbalan Pendakwa Raya Izzat Amir Idham memohon hukuman penjara yang setimpal, tegas dan berkesan terhadap tertuduh.
Beliau berhujah hukuman denda semata-mata tidak mencerminkan keseriusan kesalahan yang dilakukan oleh seorang individu berkedudukan tinggi.
Peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud memohon supaya anak guamnya tidak dihukum penjara atas alasan telah menabur jasa dalam politik.
Beliau berkata kenyataan tersebut tidak memberikan kesan kepada keselamatan negara dan ketenteraman awam.
Hukuman pemenjaraan melebihi 12 bulan atau denda melebihi RM2,000 akan menyebabkan Razali hilang kelayakan sebagai ADUN.
Kehilangan kelayakan itu sekali gus menyebabkan pilihan raya kecil perlu diadakan.
Pendakwaan mengemukakan empat saksi manakala pembelaan memanggil empat saksi dalam perbicaraan yang bermula September 2025.
Razali yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu telah membayar denda berkenaan.








