Raja Charles III umum jadual rawatan kansernya akan dikurangkan pada tahun baharu, hasil diagnosis awal dan rawatan berkesan
LONDON: Raja Charles III mengumumkan bahawa rawatan kansernya akan dikurangkan pada tahun baharu, sambil menggesa orang ramai supaya memanfaatkan saringan penyakit yang disediakan, lapor PA Media/dpa.
Perkembangan terkini mengenai kesihatan baginda dikongsikan menerusi satu mesej video bagi menyokong kempen Stand Up To Cancer.
Baginda bertitah bahawa “berita baik” itu adalah hasil diagnosis awal, rawatan berkesan serta pematuhan terhadap “arahan doktor”.
Ketua negara itu telah menjalani rawatan kanser sebagai pesakit luar sejak awal Februari 2024, yang dipercayai melibatkan lawatan mingguan ke London Clinic, namun sesi rawatan berkenaan akan dikurangkan dengan ketara.
Baginda turut berkongsi bahawa berdasarkan pengalamannya sendiri, “diagnosis kanser boleh terasa amat membebankan”, selain memberi penghormatan kepada “komuniti penjagaan” yang terdiri daripada pakar, jururawat, penyelidik dan sukarelawan.
“Diagnosis awal secara ringkasnya menyelamatkan nyawa.
“Kini, saya telah berulang kali mendengar mesej ini semasa lawatan saya ke pusat-pusat rawatan kanser di seluruh negara. Saya juga mengetahui sejauh mana perbezaan yang dibawanya dalam kes saya sendiri, yang membolehkan saya terus menjalani kehidupan yang penuh dan aktif, walaupun ketika menjalani rawatan.
“Malah, hari ini saya dapat berkongsi berita baik bahawa hasil diagnosis awal, intervensi berkesan dan pematuhan terhadap ‘arahan doktor’, jadual rawatan kanser saya sendiri dapat dikurangkan pada tahun baharu,” titah baginda. – BERNAMA-PA MEDIA/dpa







