PORT DICKSON: Seramai 1,000 kakitangan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) disasarkan menyertai Pasukan Sokongan Tindak Balas Kecemasan (CDERT) atau dilantik sebagai anggota Pasukan Pertahanan Awam (APM) menjelang tahun hadapan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata penyertaan mereka itu sekali gus dapat memberi respons segera terutama melibatkan jaminan bekalan makanan apabila berlakunya kecemasan atau bencana.
“Ini adalah kali pertama sebuah agensi berganding bahu dengan APM atas sifat kesukarelaan, sebagai menteri yang meneraju APM, saya sangat berbesar hati. Kalau berlaku bencana, perkara pertama kita fikir selain nak selamatkan nyawa dan harta benda, adalah makanan.
“Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bila berhadapan isu makanan memang akan kerjasama dengan FAMA kerana itu kepakarannya, mengawal dan uruskan bekalan makanan, sebab itu kita tubuhkan pasukan ini,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan CDERT FAMA dan penyampaian watikah pelantikan Pegawai Bersekutu APM di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Ketua Pengarah FAMA Datuk Zainal Abidin Yang Razalli.
Beliau berkata sejak ditubuhkan pada 29 Nov 2021, hampir 250 kakitangan FAMA di seluruh negara telah menyertai CDERT FAMA.
CDERT FAMA ditubuhkan bagi memandu usaha pencegahan dan tindak balas pengurangan risiko bencana supaya benar-benar berkesan dengan FAMA dan komuniti industri makanan serta pertanian dapat mewujudkan protokol kecemasan seterusnya memberi penerangan kepada masyarakat.
Selain itu, ia juga sebagai langkah kesiapsiagaan awal ketika bencana yang memerlukan proses berterusan yang perlu diterapkan dalam budaya masyarakat bagi mengurangkan risiko dan impak bencana seperti kehilangan nyawa atau harta benda. – Bernama









