Ahmad Zahid Hamidi harap parti teras BN seperti MIC terus diperkukuh, sambil menghormati hak parti itu membuat keputusan berhubung penyertaan ke PN.
BAGAN DATUK: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (gambar) berharap kerjasama parti teras dalam gabungan itu termasuk MIC, terus diperkukuh.
Timbalan Perdana Menteri berkata penyertaan semula Parti Progresif Penduduk (PPP) menjadikan gabungan parti di dalam BN bertambah stabil.
“Kami dalam BN berpendirian bahawa setiap parti gabungan khususnya parti teras, kita menghormati antara satu sama lain,” katanya.
Beliau menambah MIC merupakan parti teras sejak zaman Parti Perikatan bersama-sama dengan MCA dan UMNO.
“Kita harapkan agar parti teras di dalam BN ini dapat terus diperkukuh,” kata Presiden UMNO itu.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah syarikat QL Innofood Park di sini.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata apa jua keputusan yang akan dibuat pada mesyuarat tergempar MIC adalah hak dan pendirian parti itu.
Semalam, MIC dilapor akan mengadakan mesyuarat tergempar dalam masa terdekat bagi membincangkan penyertaan rasmi parti itu ke dalam Perikatan Nasional (PN).
Presiden MIC Tan Sri S. A. Vigneswaran berkata walaupun PN sudah memberi lampu hijau kepada MIC untuk menyertai gabungan pembangkang itu, namun ia perlu dilaksanakan mengikut proses rasmi.








