Caj kenderaan di jalan persendirian milik pengendali, bukan tol, tegas Timbalan Menteri Kerja Raya
KUALA LUMPUR: Bayaran di Jalan Genting Highlands bukan tol tetapi caj kenderaan bagi laluan persendirian milik pengendali, menurut Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan.
Beliau menekankan penggunaan istilah tepat penting bagi mengelakkan kekeliruan memandangkan negara sudah mempunyai 33 konsesi tol di lebuh raya sedia ada.
Ahmad berpandangan caj kenderaan itu hanya wajar dikenakan kepada pengunjung yang menggunakan laluan berkenaan bagi tujuan rekreasi.
Pekerja dan pemilik tanah serta premis di kawasan berkenaan tidak sepatutnya dikenakan caj.
“Apakah kesan caj kenderaan itu kepada pihak Genting Highlands? Saya kira jika mereka meletakkan harga yang tinggi, kuranglah pelancong datang ke tempat itu,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menambah pelancong akan pergi ke tempat lain yang tidak ada caj ataupun yang bukan jalan persendirian.
Menjawab soalan mengenai akta khusus berkenaan caj kenderaan di jalan persendirian, Ahmad berkata tanah dan jalan yang dibina di atasnya tertakluk kepada kerajaan negeri.
“Jika ada peraturan tertentu, saya kira tentunya peraturan itu melibatkan majlis perbandaran yang berkaitan,” katanya.
Sebelum ini, Genting Malaysia Berhad mengesahkan akan ada bayaran yang dikenakan untuk kenderaan yang memasuki Jalan Genting Highlands pada tarikh yang akan diumumkan kelak.
Syarikat itu memaklumkan maklumat lanjut berhubung perkara itu akan diumumkan sebaik sahaja butiran lanjut mengenai Caj Jalan Persendirian tersedia.
Dewan Rakyat kemudian meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan berjumlah RM10.69 bilion bagi Kementerian Kerja Raya dalam Belanjawan 2026. – Bernama






