Polis Dungun tahan buruh lelaki dan wanita selepas jumpa dadah yaba dan syabu seberat 60.35 gram bernilai RM4,553 dalam kereta mereka.
DUNGUN: Seorang buruh lelaki dan rakan wanitanya ditahan selepas dadah pelbagai jenis ditemui dalam kereta yang dinaiki mereka.
Pasangan itu ditahan di Jalan Besar Kampung Nyior Paka semalam selepas polis mengesan dadah seberat 60.35 gram dalam kereta Perodua Axia mereka.
Ketua Polis Daerah Dungun Supt Maizura Abdul Kadir berkata pemeriksaan menemui dua peket plastik biru berisi pil yaba seberat 59.56 gram.
“Turut ditemui satu peket plastik cerah berisi serbuk kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 0.79 gram,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nilai keseluruhan rampasan dadah itu dianggarkan RM4,553.90.
Suspek lelaki berusia 39 tahun itu didapati positif methamphetamine dan mempunyai rekod lampau kesalahan dadah sejak 2010.
Suspek wanita berusia 30 tahun yang juga bekerja sebagai buruh turut positif methamphetamine.
Wanita itu mempunyai beberapa rekod kesalahan dadah sejak tahun 2015.
“Siasatan awal mendapati suspek lelaki mengaku dadah yang dirampas adalah miliknya untuk tujuan pengedaran,” kata Maizura.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Kes turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) akta sama.








